fbpx

Bekas Ketua Polis Perak jadi peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Faridalathrash (tengah) antara enam orang yang diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Bekas Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid antara enam orang yang diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya hari ini.

Penerimaan masuk Mior Faridalathrash, 61, itu disempurnakan melalui prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Dalam prosiding itu, Mior Faridalathrash adalah pempetisyen paling kanan dari segi usia dan pengalaman yang diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara.

Terdahulu, peguam pengusul Ahmad Yani Aminuddin membacakan petisyen Mior Faridalathrash bagi memperkenalkan latar belakangnya selaku pempetisyen.

Ahmad Yani dalam ucapan usul itu berkata, pempetisyen yang merupakan anak sulung daripada lapan beradik bagi pasangan Allahyarham Wahid Abdullah Sani dan Allahyarhamah Sharifah Iffat Habib Hassan itu menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Percubaan pada usia 20 tahun.

Menurut beliau, ketika berkhidmat dalam pasukan, pempetisyen telah melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Dengan Kepujian.

“Minat pempetisyen menuntut ilmu tidak terhenti dengan segulung ijazah, malah pada tahun 2012, beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Harta Intelek dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Berbekalkan ilmu di dada, pempetisyen kekal bersama PDRM selama 40 tahun sehinggalah beliau bersara pada tahun 2022 sebagai Ketua Polis Perak dengan pangkat Pesuruhjaya Polis,” katanya.

Menurut Ahmad Yani, tempoh 40 tahun dalam pasukan polis jelas menunjukkan minat pempetisyen dalam jurusan undang-undang bukanlah kerana ia suatu yang popular atau ‘glamour’.

Sebaliknya beliau berkata, pempetisyen berpendapat ia adalah satu disiplin yang membolehkannya mencerna kebolehan membuat taakulan dan menganalisis serta merencana idea yang kompleks. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI