fbpx

Dewan Rakyat: Permohonan bantuan JKM bertambah setiap tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy.

KUALA LUMPUR – Permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertambah saban tahun dengan peningkatan ketara ketika kemuncak penularan Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jika trend itu berlanjutan boleh memberi tanggungan dan beban tinggi untuk negara di masa hadapan.

Menurut beliau, kerajaan melalui JKM malah telah menyalurkan sejumlah RM2.4 bilion kepada 533,167 penerima pelbagai jenis bantuan kebajikan di seluruh negara sepanjang 2022.

“Pada 2022 sahaja sebanyak 148,699 permohonan baharu bantuan telah diterima JKM.

“Kita perlu cari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan pihak memerlukan dapat bantuan dan terus dibantu serta pada masa sama tidak menekan implikasi kewangan negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) sama ada kerajaan berhasrat untuk menaikkan jumlah bantuan JKM selaras kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Nancy berkata, sebahagian daripada kadar bantuan telah pun dinaikkan setakat 2021 seperti bantuan kanak-kanak, bantuan warga emas, elaun pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) tidak berupaya bekerja dan bantuan penjagaan OKU atau pesakit kronik terlantar.

Beliau menjelaskan, bantuan itu bagaimanapun bersifat sementara bagi meringankan beban kewangan dialami penerima bantuan dan untuk kelangsungan hidup, bukan untuk menanggung mereka.

Jelas beliau, bagi mereka yang keadaan kewangan, kehidupan serta pendapatan telah menjadi lebih baik tidak lagi perlu menerima bantuan berkenaan.

Tambah beliau, sejak 2016, JKM telah melaksanakan program ‘2 Years Exit Programme’ (2YEP) bagi membantu penerima bantuan kebajikan ke arah hidup berdikari melalui pembelajaran pelbagai kemahiran kehidupan dan memperkasakan pembangunan klien produktif.

Kata beliau, setakat ini seramai 6,500 penerima bantuan telah menyertai program tersebut dengan kira-kira 1,500 telah berjaya keluar daripada memerlukan bantuan kebajikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI