fbpx

Tiada cadangan naikkan kadar VEP kenderaan dari Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIEW FOOK menyentuh kad debit pada panel pembayaran automatik pada Pelancaran Pas Tanpa Had MyBAS dan Bas Awam Elektrik Pertama Johor, di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Kementerian Pengangkutan tiada perancangan untuk menaikkan kadar bayaran permit masuk kenderaan (VEP) bagi kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Johor.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu hanya akan menyebabkan kerajaan Singapura turut menaikkan kadar bayaran kepada kenderaan Malaysia yang memasuki republik itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, kadar VEP akan dikekalkan kepada RM20 bagi setiap kenderaan berdaftar di Singapura ketika melalui Tambak Johor, di sini atau Lebuhraya Linkedua, Gelang Patah.

“Setakat ini, kementerian tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan kadar VEP. Jika kita berbuat demikian, pasti ada tindak balas dari Singapura.

“Sekiranya, kalau kita tingkatkan kadar bayaran itu untuk kenderaan Singapura, maka kerajaan Singapura pun akan mengenakan cukai jalan yang lebih tinggi untuk kenderaan Malaysia yang masuk ke Singapura.

“Dalam masa sama, kita juga nak menggalakkan kemasukan pelancong dari Singapura ke negeri ini supaya dapat menyumbang kepada ekonomi di Johor. Walaupun ada cadangan daripada wakil rakyat. Tetapi setakat ini Kementerian tak ada perancangan untuk meningkatkan kadar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan pas tanpa had MyBAS dan bas awam elektrik pertama Johor, di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI