fbpx

Sidang DUN: Johor kurang peguam syarie, tak mahir baca jawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FARED ketika menjawab soalan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) pada Persidangan DUN Johor ke-15 di Kota Iskandar, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Jumlah pengambilan calon peguam syarie di negeri ini berkurangan saban tahun adalah disebabkan kelemahan calon-calon dalam kemahiran membaca tulisan jawi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, akibat kelemahan tersebut, mereka sukar memahami kehendak soalan khususnya melibatkan soalan peperiksaan bertulis.

“Bagi menangani masalah itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil inisiatif melakukan penambahbaikan dengan cara membukukan soalan-soalan tahun lepas sebagai rujukan calon bagi menghadapi peperiksaan,” katanya ketika berucap pada sesi soal jawab sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) berhubung apakah punca pengambilan peguam syarie di negeri ini menurun setiap tahun sedangkan jumlah permohonan diterima ramai.

Tambah Mohd. Fared, calon yang berminat mendapatkan buku soalan tersebut boleh mendapatkan melalui medium yang akan diumumkan MAINJ dalam masa terdekat.

“Dalam pada itu, MAINJ turut mencadangkan agar Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor menganjurkan kursus persediaan peperiksaan kepada calon peperiksaan peguam syarie di negeri ini.

“MAINJ sebelum ini telah menetapkan bahawa calon peguam syarie berkualiti haruslah melepasi markah 60 peratus bagi peperiksaan bertulis untuk melayakkan mereka masuk ke peringkat temu duga.

“Bagi peringkat temuduga pula, calon perlu melepasi markah 80 peratus untuk lulus dan markah penilaian itu akan dibawa ke dalam jawatankuasa peguam syarie untuk dibentangkan, jika lulus, maka calon yang layak akan dimajukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peguam Syarie untuk mendapatkan pengesahan lantikan,” jelasnya.

Untuk rekod, seramai 87 calon telah memohon menjalani peperiksaan bertulis peguam syarie pada tahun lepas, namun hanya seorang calon yang lulus dan setakat ini hanya 92 orang peguam syarie sudah menerima Sijil Peguam Syarie serta Sijil Amalan Guaman Syarie untuk beramal di Mahkamah Syariah Negeri Johor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI