fbpx
KEDAI emas di Kelantan menjadi pilihan rakyat Thailand untuk membeli pelbagai jenis barang kemas pada harga yang cukup murah.

Orang Siam gila beli emas Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengusaha kedai emas di Kelantan kini tidak menang tangan untuk melayan kehadiran rakyat Thailand yang sanggup menyeberang sempadan semata-mata untuk membeli pelbagai koleksi barangan kemas milik mereka.

Situasi itu dikatakan berlaku sejak November tahun lalu apabila kebanyakan kedai emas di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kota Bharu diserbu rakyat negara jiran terutama yang tinggal berhampiran Sungai Golok, Narathiwat dan Pattani.

Berdasarkan tinjauan, harga semasa emas di Kelantan adalah sekitar RM260 segram, manakala di Thailand, nilainya telah mencecah RM270 segram.

Seorang pemilik kedai emas di Rantau Panjang, Norzita Che Hamzah, 52, berkata, kebanyakan kedai emas di Kelantan menjadi sasaran ‘orang Siam’ kerana nilai tukaran Baht Thailand ketika ini adalah lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia (RM).

“Sekarang duit kita agak murah, jadi mereka beli emas daripada kita. Memang boleh dikatakan hampir setiap hari rakyat Thailand datang beli emas di sini.

“Jika mereka habiskan RM5,000 untuk beli emas di sini, mereka masih untung kerana boleh jual pada RM8,500 di sana.

“Itu belum lagi dijual secara lebur atau direka bentuk menjadi barang kemas lain. Penjual emas di sana boleh mengaut keuntu­ngan hampir 30 peratus.

“Ditambah pula Hari Raya Aidilfitri semakin hampir, kebia­saan masyarakat di Kelantan serta di beberapa daerah selatan Thailand akan menukar dan membeli barang kemas baharu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ketika ini, nilai tukaran Ringgit Malaysia dan Baht Thailand adalah sebanyak RM1 bersamaan 7.6 Baht.
Kata Norzita, sebelum ini nilai mata wang kedua-dua negara adalah sama dan ada ketika Ringgit Malaysia jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan Baht.

SEORANG pekerja kedai emas menunjukkan corak atau paten rantai tangan unik yang menjadi pilihan pembeli Thailand di Kangar semalam.

“Sebelum ini, kita tak perlu tukar duit kalau berbelanja di selatan Thailand kerana ia sudah jadi kebiasaan.

“Namun, sekarang lain, ke­sempatan inilah yang membuatkan orang Thailand datang ke sini untuk mendapatkan barang kemas kerana emas kita akan menjadi murah jika dibandingkan di sana,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pemilik kedai emas dikenali Razali, 60, berkata, peraih emas dari Thailand menyasarkan Kelantan sebagai lokasi mendapatkan bekalan emas.

“Kalau ‘tok peraih’ emas ini datang, mereka akan berbelanja besar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

“Bayangkan banyak mana keuntungan yang mereka dapat. Wanita di sana seperti juga wanita di Kelantan yang suka membeli barang kemas sebagai perhiasan.

“Lagipun untuk merentas sempadan, setahu saya barang kemas tidak perlu diisytihar, itu yang rakyat Thailand boleh ber­belanja besar.

“Mereka tidak fokus kepada jumlah emas yang dibeli, tetapi mereka akan beli mengikut berat timbangan emas. Saya difahamkan, mereka akan leburkan emas itu dan jual balik di sana dengan harga tinggi,” katanya.

NORSYAZWANI menunjukkan rantai leher jenis boba dan candy.

Tambahnya, kualiti barang kemas di Kelantan juga merupakan antara yang terbaik jika dibandingkan di tempat lain di negara ini.

“Yang saya tahu, emas di Kelantan memang ada kualiti, di Thailand pula orang cakap hanya di Bangkok emasnya setanding emas Korea.

“Jadi orang di Narathiwat atau Pattani tidak akan ke sana sebab jauh, mereka akan datang ke Kelantan terutamanya Rantau Panjang dan Pasir Mas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN