fbpx

Dewan Rakyat: Lebih RM146 juta disalur bagi imbuhan imam seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyalurkan peruntukan lebih RM 146.6 juta ke negeri-negeri bagi pembayaran imbuhan bulanan kepada 14,373 orang imam masjid kariah di seluruh negara tahun lalu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, Kerajaan Persekutuan juga sangat peka dengan sentiasa mengkaji dan membuat penilaian berkaitan imbuhan bulanan imam masjid kariah dari semasa ke semasa dan juga berdasarkan kepada situasi kewangan negara.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa pemberian sebanyak RM850 sebulan adalah berbentuk imbuhan, bukan gaji dan tidak dapat dibandingkan dengan paras gaji minima.

“Selain pemberian imbuhan sebanyak RM850 secara bulanan, mereka turut dicarumkan dengan Perkeso dan bantuan One-Off pada tahun 2023 pula, pemberian diberikan sebanyak RM600 berbanding RM500 pada tahun sebelum ini,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar Mohd (BN-Jempol) yang meminta kerajaan menyatakan pertimbangan bagi menaikkan elaun imam masjid yang kini hanya menerima bayaran RM850 sebulan daripada Jakim yang jelas di bawah paras gaji minima dengan mengambil kira kos sara hidup yang makin meningkat.

Tambahnya, pelantikan imam-imam masjid kariah terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) manakala Jakim bertindak sebagai penyelaras di peringkat Persekutuan.

Walau bagaimanapun Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Negeri melalui pemberian imbuhan bulanan kepada imam-imam masjid kariah atau mukim di seluruh negara yang telah bermula pada Januari 2005 dengan kadar imbuhan bulanan pada ketika itu sebanyak RM 450.

“Pada tahun 2011 pula, dalam pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri ketika itu telah mengumumkan kenaikan kadar imbuhan bulanan imam masjid kariah kepada RM 750 sebulan.

“Melalui pembentangan Bajet Tahun 2017 yang diumumkan pada Oktober 2016, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar imbuhan bulanan imam sekali lagi kepada RM 850 sebulan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI