fbpx

Kerajaan negeri, Jabatan Laut tidak halang tambah trip feri Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jumlah trip feri ke Pulau Langkawi perlu ditambah bagi melancarkan kemasukan pelancong ke pulau itu. - Gambar hiasan

ALOR SETAR – Kerajaan negeri bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM) tidak menghalang syarikat operator feri ke Langkawi untuk menambah kekerapan perjalanan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di pulau legenda itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Datuk Azman Nasrudin berkata, setakat ini beliau dimaklumkan bahawa pihak operator hanya menjalankan lima trip sehari dan ia selari dengan permintaan semasa penumpang.

“Sekiranya terdapat permintaan tinggi, jumlah trip boleh ditambah. Contohnya sewaktu musim perayaan Tahun Baharu Cina antara 20 hingga 25 Januari lalu, kadar kekerapan feri telah ditambah sehingga sembilan trip setiap hari.

“Pada masa ini operator feri sedia ada memiliki 12 feri pelbagai kapasiti yang sedang beroperasi. Jumlah ini mencukupi dan mereka boleh memohon trip tambahan sehingga maksimum 12 trip berdasarkan permintaan penumpang bagi merancakkan lagi sektor pelancongan Kuala Kedah dan Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika merasmikan pembukaan sidang DUN pada Ahad lalu bertitah agar kerajaan negeri memikirkan kaedah untuk melancarkan pergerakan pelancong keluar masuk ke Langkawi.

Titah baginda, sejak akhir-akhir ini, perkhidmatan feri penumpang ke Langkawi kian mengalami kemerosotan daripada kekerapan jadual pergerakan feri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI