fbpx

Sewa rumah naik RM50 hingga RM100 sebab OPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai pemilik rumah terpaksa menaikkan harga sewaan berikutan kenaikan OPR baru-baru ini. – Gambar hiasan

MELAKA – Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) didakwa menjadi ‘modal’ pemilik rumah untuk menaikkan sewa sehingga penyewa tidak mampu membayarnya.

Kenaikan empat kali OPR dicatatkan sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum­nya menyebabkan pemilik menaikkan kadar sewa.

Seorang peniaga dikenali Maria Rahmat, 35, berkata, dia kini terpaksa mencari rumah sewa baharu selepas pemilik menaikkan sewa RM50 sejak bulan lalu.

“Sebelum ini, masalah rumah yang saya sekeluarga alami, tuan rumah langsung tidak diambil peduli termasuklah siling bocor sehingga perlu tadah baldi, tiba-tiba beritahu sewa dinaikkan dari RM500 menjadi RM550 di­sebabkan OPR.

“Kini saya sedang cari rumah lain untuk berpindah keluar ke­rana tidak mampu lagi membayar sewa dalam keadaan segala benda (keperluan asas) mahal sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, ibu dua anak, Nurul Izyani Abdul Kadir, 36, berkata, dia kini terpaksa menanggung tambahan sewaan RM100, menjadikan sewa bulanan rumahnya di Semabok di sini meningkat kepada RM860 sebulan sejak Disember lalu.

“Tuan rumah ada telefon suami saya maklum terpaksa naik sewa kepada RM860 sebulan ke­rana dia perlu bayar kadar tambahan disebabkan OPR, jadi kami tiada pilihan lain dan terpaksalah bersetuju sebab lokasi rumah ini dekat dengan tempat kerja.

“Jika kadar sewa ini terus meningkat, saya dan keluarga terpaksalah berpindah cari rumah lain kerana tidak mampu menampung kos isi rumah lain,” ujarnya yang tidak sampai setahun menetap di situ.

Raihan Abdul Rahim, 34, yang menyewa bilik di Bukit Beruang pada kadar RM220 turut me­luahkan hasrat untuk mencari rumah sewa baharu sekiranya pemilik rumah menaikkan sewaan melebihi RM50.

Bagi pemilik rumah pula, Aniza Wati Mustaffa, 45, berkata, dia terpaksa menaikkan sewa sebanyak RM50 sehingga RM100 selepas jumlah pinjaman bulanannya meningkat mencecah hampir RM1,000 sebulan di­sebabkan OPR.

“Saya mempunyai tiga buah rumah sewa, satu di Kuala Lumpur dan dua di Melaka. Bagi rumah di Kuala Lumpur saya terpaksa naikkan sewa daripada RM950 kepada RM1,000.

“Rumah di Taman Pertam Jaya pula dari RM750 kepada RM850 dan sebuah lagi di Bachang daripada RM1,000 kepada RM1,100. Penyewa pun sudah setuju sewa naik,” katanya.

Tambahnya, kenaikan itu bagaimanapun hanya dapat menampung kira-kira 30 peratus daripada kenaikan baharu OPR yang ditanggungnya kini bagi pinjaman dalam tempoh 25 tahun.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI