fbpx

Road to Gold mampu jelma emas di Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) bersama sebahagian daripada ahli jawatankuasa Road to Gold yang akan merangka strategi bagi membolehkan atlet negara meraih pingat emas pertama di pentas Sukan Olimpik.

IMPIAN rakyat Malaysia untuk menyaksikan kilauan pingat emas pertama negara muncul pada temasya Sukan Olimpik semakin hampir menjadi kenya­taan.

Ia berikutan inisiatif yang diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berjaya membentuk pasukan jawatankuasa projek ‘Road to Gold’.

Projek berkenaan adalah bertujuan bagi menyelaras perse­diaan rapi para atlet negara menjelang temasya Olimpik Paris 2024 dan Olimpik Los Angeles 2028.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pasukan projek terbabit terdiri daripada bekas atlet dan ‘individu elit’ dalam arena sukan negara yang memberi tumpuan kepada program persediaan meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Katanya, Projek Road to Gold atau RtG ini akan memperkasakan Program Podium sedia ada diketuai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) melalui pemantauan pe­ringkat kementerian.

“Dengan mengambil kira struktur dan kaedah pelaksa­naan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh hanya setahun sahaja bagi menghadapi Olim­pik Paris pada tahun hadapan, jawatankuasa ini akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan memberi fokus kepada menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pi­ngat negara. Sokongan tambahan yang diperlukan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap individu,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Jawatankuasa berkenaan di anggotai oleh Ketua Kontinjen Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan timbalannya, Datuk Nicol Ann David; Ketua Setiausaha KBS, Dr. K. Nagulendran; Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Mohd. Ramli.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (Naib Pre­siden Konfederasi Hoki Malaysia), Datuk Lee Chong Wei (bekas atlet badminton), Datuk Mirnawan Nawawi (bekas atlet hoki), Stuart Ramalingam (penyelaras projek) dan Michelle Chai (pembantu penyelaras projek).

“Semua pelantikan adalah atas dasar sukarela dan tanpa menerima apa-apa elaun, sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negara secara kolektif. Di samping itu, jawatankuasa ini juga akan secara aktif membina kerjasama strategik dengan sektor korporat agar mereka turut terlibat dalam projek nasio­nal utama ini.

“Peranan ‘Chef de Mission’ dan timbalannya akan mencerminkan asas jawatankuasa ini yang terdiri daripada pentadbir berkepakaran dan atlet bertaraf dunia. Tugas segera jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti keperluan tambahan yang diperlukan bagi menjayakan misi meraih emas di temasya Sukan Olimpik kali ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kriteria pemilihan atlet untuk diserap ke program Road to Gold, Hannah berkata, penyenaraian atlet tertakluk kepada semakan berkala dan komitmen daripada atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat emas pertama buat negara di pentas Sukan Olimpik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI