fbpx

Gunung Merapi meletus, penduduk diminta berwaspada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asap tebal naik ke udara dari Gunung Merapi seperti yang dirakam dari kampung Tunggularum di Sleman hari ini. - AFP

JAKARTA – Gunung Merapi di Indonesia yang merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di dunia meletus hari ini dengan memuntahkan asap dan abu tebal sehingga menyelubungi beberapa kampung di lokasi berhampiran kawah.

Tiada laporan segera mengenai mangsa dan kematian, kata agensi mitigasi bencana Indonesia.

Imej yang disiarkan di saluran berita Kompas TV memaparkan keadaan rumah dan jalan yang dilitupi abu di sebuah kampung berhampiran gunung berapi yang terletak di Pulau Jawa, berhampiran Jogjakarta.

Balai Cerap Gunung Berapi Merapi menganggarkan awan abu itu mencapai ketinggian 3,000 meter di atas puncak.

Pihak berkuasa kemudian mewujudkan zon larangan pada jarak sejauh 7 kilometer (km) dari kawah gunung berapi selepas letusan itu berlaku pada pukul 12.12 tengah hari (waktu tempatan) tadi.

“Bagi mengelakkan potensi bahaya daripada letusan Gunung Merapi, orang ramai dinasihatkan untuk menghentikan sebarang aktiviti di kawasan berpotensi berbahaya,” kata jurucakap agensi itu, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penduduk berhampiran juga diingatkan agar berwaspada terhadap ‘gangguan’ daripada abu dan potensi bahaya daripada aliran lumpur gunung berapi, terutamanya jika air hujan turun berhampiran lokasi tersebut.

Sekurang-kurangnya lapan kampung berhampiran gunung berapi itu telah terjejas akibat abu gunung berapi, demikian menurut seorang pegawai di salah sebuah pos pemerhatian Merapi dalam satu kenyataan.

Letusan besar terakhir gunung berapi itu berlaku pada 2010 dan telah membunuh lebih 300 orang serta memaksa pemindahan kira-kira 280,000 penduduk.  – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI