fbpx

Lari ke hutan selepas tikam mati adik saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

HULU SELANGOR – Seorang lelaki warga Myanmar ditahan di dalam hutan selepas disyaki membunuh adik saudaranya sehingga isi perut terburai di sebuah rumah pekerja estet Sungai Gumit, Kampung Sungai Serian, Kalumpang, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima laporan tersebut pada pukul 6.46 petang semalam daripada salah seorang pekerja estet tempat kejadian.

Katanya, pengadu memberitahu ada pergaduhan melibatkan dua lelaki warga Myanmar di tempat tersebut.

“Kejadian itu berlaku di sebuah rumah pekerja ladang di situ sehingga menyebabkan salah seorangnya cedera parah.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, mangsa berusia 29 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap dengan isi perut terkeluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Asri, suspek menggunakan pisau yang tajam ketika bergaduh dengan mangsa sehingga menyebabkan kematian.

“Bertindak di atas maklumat, pada pukul 1.30 pagi tadi, pihaknya telah menahan dua warga asing dipercayai tinggal bersama mangsa.

“Susulan tangkapan itu, seorang lagi suspek utama berjaya ditangkap di kawasan hutan berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Jelas Asri, ujian air kencing kesemua suspek berusia 28 hingga 33 tahun adalah negatif dan tiada rekod jenayah lampau.

Ekoran itu, dua suspek ditahan reman 14 hari sehingga 23 Mac hadapan dan seorang lagi akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baru untuk permohonan reman.

Motif kejadian kerana salah faham antara mereka semasa minum minuman keras dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI