PUTRAJAYA – Golongan lelaki yang mempunyai keinginan berpakaian wanita berisiko dikaitkan dengan masalah kecelaruan perwatakan atau lebih dikenali sebagai gender identity disorder (GID).
GID ialah kecelaruan identiti seseorang terhadap jantina kelahirannya dengan melibatkan aspek emosi serta pemikiran termasuk seperti tindakan mengenakan pakaian yang berlainan jantina.
Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia Universiti Sains Malaysia, Nur Amirah Asyikin Hasmizar berkata, simptom GID mungkin boleh dikaitkan dengan individu yang mempunyai keinginan berperwatakan dan menggayakan sesuatu bertentangan jantina asal mereka.
“Dalam konteks ini, kumpulan terbabit perlu memenuhi beberapa simptom seperti mempunyai perasaan mengubah atau menyembunyikan jantina sebenar melalui gaya bertentangan ditampilkan kepada umum.
“Apabila ada simptom seperti itu, ia mampu memberi kesan negatif kepada penghidapnya jika tidak dirawat,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Bagaimanapun, Nur Amirah berkata, hanya pakar psikiatri boleh mengklasifikasikan seseorang itu sebagai penghidap GID selepas melalui diagnosis secara menyeluruh.
“Kita tidak boleh terus menghukum jika melihat lelaki berpakaian wanita sebagai penghidap masalah kecelaruan perwatakan.
“Bagi golongan itu pula, jika perwatakan itu terus dibiarkan berlarutan, ia mungkin menyebabkan individu terlibat berdepan masalah kesejahteraan emosi dan minda seperti tekanan, hilang kepercayaan diri malah takut untuk bersosial kerana sering mendapat reaksi negatif masyarakat,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














