fbpx

Kanser payudara tidak kenal sejarah keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tidak mempunyai sejarah keluarga hidap kanser payudara, bukan bermakna anda bebas daripada serangannya. – GAMBAR HIASAN

KANSER payudara masih kekal sebagai kanser yang paling kerap dikesan dalam kalangan wanita di seluruh dunia.

Malah, di Malaysia sendiri setiap tahun dianggarkan satu daripada 19 wanita berisiko untuk menghidap kanser payudara setiap tahun.

Malah, menurut American Cancer Society, memandangkan penawar kanser ini masih belum ditemui, pengesanan awal ketika masalah ini belum bermetastasis memberikan kadar kelangsungan hidup selama lima tahun sebanyak 99 peratus.

Antara tanggapan salah yang semakin menular dalam kalangan wanita hari ini termasuklah tanggapan bahawa seseorang akan terselamat daripada kanser payudara jika tiada sejarah penyakit tersebut dalam kalangan keluarga.

Akibatnya, sesetengah wanita mungkin mengambil sikap yang lebih bersahaja terhadap penyakit ini.

Namun begitu, Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Winnie Ng berkata, walaupun seseorang itu tidak mempunyai sejarah keluarga kanser, faktor luaran seperti pendedahan kepada persekitaran, pendedahan berpanjangan kepada hormon wanita dan gaya hidup boleh menyumbang kepada peningkatan risiko relatif kanser payudara.

Menurutnya, beberapa faktor risiko boleh meningkatkan kebarangkalian menghidap kanser payudara.

“Faktor-faktor risiko ini boleh dikategorikan sebagai faktor yang boleh diubah suai dan faktor yang tidak boleh diubah suai.

“Terdapat banyak punca tersirat yang menyebabkan kanser. Seseorang tidak boleh menganggap bahawa hanya genetik memainkan peranan,” katanya.

Tambahnya, pengambilan alkohol dan merokok merupakan faktor gaya hidup yang meningkatkan risiko kanser payudara. Pendedahan berpanjangan kepada hormon reproduktif wanita turut merupakan satu faktor risiko.

Ini termasuk wanita yang mengalami kedatangan haid pertama pada usia muda, tidak pernah hamil, hamil anak pertama pada usia yang lanjut atau menggunakan pil kontraseptif oral.

Dr. Winnie berkata, menopaus lewat juga meningkatkan risiko kanser payudara. Jelasnya, wanita pasca-menopaus yang menjalani terapi penggantian hormon atau obes juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara.

“Oleh itu, wanita yang tidak mempunyai sejarah kanser payudara dalam keluarga tidak seharusnya mengambil mudah langkah-langkah saringan kerana penting untuk pengesanan awal dan ini disyorkan kepada wanita pada semua peringkat umur serta mereka yang terdedah kepada faktor risiko yang lebih tinggi.

“Kaedah saringan yang paling mudah adalah pemeriksaan payudara kendiri,” ulasnya.

Jelas Dr. Winnie, sejarah keluarga yang positif kanser payudara atau mutasi genetik yang diwarisi adalah termasuk dalam kategori kedua faktor risiko iaitu faktor tidak boleh diubah suai.

Dalam situasi ini, risiko mendapat kanser payudara meningkat dari satu setengah kali ganda ke tiga kali ganda jika seseorang wanita punya ibu atau saudara perempuan yang menghidap kanser payudara.

“Mutasi dalam gen yang rentan kanser payudara seperti BRCA1 dan BRCA2 juga dikaitkan dengan peningkatan ketara kanser payudara.

Kesan kanser payudara sebelum ia merebak dengan melakukan saringan dan pengesanan awal. – GAMBAR HIASAN

“Keadaan payudara tertentu yang biasanya tidak berbahaya juga menyumbang kepada peningkatan risiko, manakala pendedahan tambahan kepada radiasi mengion meningkatkan risiko kanser payudara seperti sinar-X diagnostik yang berulang pada bahagian dada atau sejarah radiasi pada bahagian dada pada usia muda,” katanya.

Tambahnya, beberapa tanda awal kanser payudara yang perlu diberi perhatian ialah tanda bengkak pada bahagian payudara atau kelenjar limfa yang bengkak di bawah lengan, payudara gatal atau mengalami kerengsaan, perubahan warna, peningkatan saiz atau bentuk payudara.

Melalui pemeriksaan kendiri, seseorang mungkin mendapati kulit payudara terasa keras, sakit atau hangat, dan kulit puting berwarna kemerahan atau mengelupas.

Sesetengah wanita mungkin mendapati kulit mereka melekuk ataupun puting mereka mengecut ke dalam. Sesetengah wanita pula mungkin mengalami lelehan dari puting.

Gejala-gejala ini mungkin diiringi dengan kesakitan pada payudara, tetapi ada kalanya tidak.

Dengan penemuan mutasi dalam gen yang boleh menyebabkan kanser payudara dalam kalangan wanita tertentu, kemajuan teknologi seperti Next Generation Sequencing (NGS) telah memainkan peranan yang revolusioner dalam ujian genetik untuk BRCA1 dan BRCA2.

Sementara usaha mencari penawar masih berlangsung, pengesanan awal dan saringan tetap kekal sebagai penyelesaian paling praktikal untuk mengesan penyakit kanser ini lebih awal.

Walaupun kanser payudara lazim dihidapi oleh golongan wanita yang lebih berumur, wanita muda juga berisiko menghidapi kanser.

Dr. Winnie berkata, wanita di bawah umur 40 tahun disyorkan menjalani ultrasound payudara sebagai kaedah saringan yang sesuai kerana payudara mereka lebih padat, manakala wanita melebihi umur 40 tahun dinasihatkan untuk menjalani mamogram.

“Diagnosis kanser payudara bukanlah satu hukuman mati. Ujian kendiri dan pemeriksaan rapi boleh menyelamatkan nyawa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI