PETALING JAYA – Penggiat industri seni kreatif perlu mempunyai inisiatif mengambil insurans peribadi sebagai perlindungan untuk manfaat kesihatan, selain persediaan andai berlaku kejadian tidak diingini.
Penerbit dan pelakon, Bront Palarae berkata kepentingan insurans mahu pun skim bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak seharusnya dipandang ringan terutama membabitkan individu bekerja.
Menurut pelakon Harum Malam itu, golongan yang sudah lama bekerja dan berpengalaman dalam industri seni tentu menyedari pekerjaan ini berisiko tinggi.
“Tujuan kita bekerja pun demi menyara keluarga, jadi skim perlindungan dapat memberi manfaat dari segi pampasan jika berlaku insiden tidak diingini.
“Sekurangnya-kurangnya pampasan itu dapat menampung perbelanjaan isi rumah dalam tempoh beberapa bulan sementara menunggu proses pulih daripada kecederaan.
“Semua ini kita tak perlu tunggu pihak lain buatkan untuk kita sebab kita bukan boleh jangka risiko kemalangan mahu pun kecederaan ketika bekerja,” katanya ketika selepas majlis sidang media Festival Filem Malaysia Antarabangsa ke-enam (MIFFest) di ibu negara.
Pada masa sama, Bront turut mengingatkan produser dan rumah produksu tidak mengambil mudah kepentingan pelindungan secara berkelompok kepada kru dan pelakon supaya tiada isu berbangkit di kemudian hari.
“Standard praktis bagi penerbitan filem sebelum memulakan kerja penggambaran memang kena ada Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) mengikut syarat ditetapkan.
“Sebagai orang filem, itu bukan isu tapi bila tiada insuran, ia akan jadi isu.Tapi saya faham tak semua penerbit sedar kepentingan skim tersebut.
“Selagi belum terkena mungkin keadaan itu yang membuatkan penerbit kurang menyedari kepentingan insurans mahu pun ambil ikhtibar,” katanya lagi.
Aktor berpengalaman itu diminta mengulas mengenai isu kemalangan di set penggambaran dengan terbaharu membabitkan Fasha Sandha yang mengalami kecederaan mata di set drama arahan Along Kamaludin.
Sekitar 2018, Bront sendiri pernah mengalami kecederaan kaki ketika terbabit dengan penggambaran drama bersiri penyiasatan The Bridge di Johor Bharu. Akibat terjatuh semasa menjayakan adegan berlari, Bront mengalami koyak otot betis kanan dan perlu berehat selama dua minggu namun terpaksa memendekkan tempoh tersebut atas urusan kerja. – KOSMO! ONLINE