fbpx

Bayaran digital di festival Ramadan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Azam (kiri), dan Fakru Radzi menandatangani MoU di SACC Mall, hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM – Kira-kira 1,000 peniaga festival Ramadan Selangor 2023 atau FESTIRA’23 bakal mendapat manfaat perbankan digital dalam memacu perniagaan tanpa tunai.

Ini susulan Memorandum Persefahaman antara MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) dalam memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, kolabrasi strategik itu memberikan manfaat dan kemudahan kepada para peniaga di premis-premis yang dikawal selia oleh PREC menerusi penggunaan produk digital melalui platform real-time retail payment (RPP).

Katanya, platform RPP yang diuruskan Payment Network Malaysia (PayNet) meliputi aplikasi DuitNowQR yang boleh digunakan melalui aplikasi perbankan mudah alih dan e-Dompet.

“Transaksi tanpa tunai yang ditawarkan menerusi RPP dapat menjimatkan kos operasi masa dan membantu meningkatkan proses pengurusan kewangan lebih cekap.

“Tambahan, ia juga sedia digunakan sepanjang masa kerana beroperasi 24 jam,” katanya selepas MoU tersebut di Atrium SACC Mall, hari ini.

MoU itu ditandatangani Nor Azam dan CEO PREC, Fakru Radzi Ab. Ghani.

Jelas Nor Azam, pendigitalan premis-premis PREC dapat menarik lebih ramai pelanggan kerana pembayaran secara digital adalah lebih mudah, selamat dan menjadi pilihan pengguna masa kini.

“Premis-premis PREC juga menjadi fokus MBSB Bank untuk kami mengadakan kempen-kempen promosi produk kerana lokasinya yang strategik.

“Tumpuan juga diberikan kepada pengukuhan PKS melalui pembiayaan kewangan mikro jangka pendek dan sederhana berdasarkan keperluan perniagaan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fakru Razi memaklumkan kolabrasi itu dijadualkan akan dimulakan pada FESTIRA’23 yang melibatkan jangkaan 1,000 peniaga di SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi.

“Sebagai permulaan, sasaran utama kolabrasi ini adalah kepada para peniaga yang terlibat dengan FESTIRA’23 dengan peniaga akan membuka akaun MBSB Bank dan menggunakan perkhidmatan perbankan secara digital dalam proses jual beli,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI