PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak mengisytiharkan sebarang darurat berhubung situasi semasa bencana banjir yang berlaku di Johor.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah ke arah mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dengan kadar segera.
“Kita juga meneliti aset-aset kerajaan yang mampu dikerahkan ke lokasi terkesan dengan kadar segera malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi juga telah turun sendiri ke beberapa lokasi terjejas untuk melihat sendiri beberapa isu yang perlukan penyelesaian segera.
“Antara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri adalah keperluan untuk membawa keluar atau menyambung semula jaringan jalan dan jambatan yang terputus sebelum ini akibat banjir,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Ujar beliau, setakat hari ini, keadaan di Johor sedang diteliti oleh Jemaah Menteri dan kerajaan pusat akan menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir. – KOSMO! ONLINE