fbpx

Banteng Borneo diancam kepupusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEBANYAKAN populasi banteng Borneo ketika ini terkurung di habitat sub-optimum.

ANCAMAN kepupusan haiwan akibat penerokaan hutan di tanah Borneo sering memberi fokus kepada beberapa spesies tertentu antaranya orang utan Borneo, gajah Borneo, harimau dahan Sunda dan tenggiling Sunda.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi spesies haiwan sedang berdepan ancaman kepupusan akibat kerakusan sesetengah pihak yang meneroka hutan di Borneo iaitu lembu liar atau banteng Borneo.

Dikenali dengan ciri unik iaitu memiliki kaki ‘berstokin’ putih, banteng Borneo merupakan antara spesies mamalia yang banyak ditemui di Borneo.

Berdasarkan perkongsian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia dalam satu kenyataan, aktiviti penerokaan hutan sejak bertahun-tahun, pindah guna tanah dan perburuan telah menyebabkan bilangan haiwan itu menurun mendadak.

“Hari ini, populasi banteng Borneo di Sabah dianggarkan sebanyak 326 ekor. Bilangan ini mungkin lebih banyak atau mungkin kurang.

“Tiada siapa yang benar-benar tahu kerana tidak banyak tinjauan meluas dijalankan terhadap spesies berkenaan,” katanya

Tambahnya, jika langkah pemuliharaan tidak dipertingkatkan, besar kemungkinan banteng Borneo atau spesies mamalia besar Pleistocene yang paling terancam di dunia itu bakal pupus.

Banteng Borneo diklasifikasikan sebagai terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).

Banteng Borneo juga disenaraikan di bawah Jadual 1 dalam Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 yang mana merupakan antara spesies perlu diberikan perlindungan penuh.

Biarpun begitu, populasi banteng telah merosot.

Ini kerana habitat haiwan itu telah berkurang selama bertahun-tahun.

Ini menyebabkan banteng Borneo terkurung di habitat sub-optimum dengan kualiti dan produktiviti sumber makanan utamanya juga terkesan.

POPULASI banteng Borneo dianggarkan sebanyak 326 ekor ketika ini.

Banteng Borneo dikenali sebagai haiwan yang ‘pemalu’, sekali gus menjadikannya sangat sukar untuk dilihat di alam liar.

Bagaimanapun, ia memainkan peranan penting dalam ekosistem.

Aktiviti meragut dan mencari makanan membantu mengawal pertumbuhan tumbuh-tumbuhan termasuk pokok renek.

Najisnya pula membantu menambah kesuburan tanah serta membantu serangga dan burung.

Dengan saiz populasi yang sudah kecil dan semakin berkurangan, pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan dengan diketuai oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) dan disokong oleh Ahli Jawatankuasa Pelan Tindakan Spesies.

Kedua-dua pihak tersebut telah bersama-sama merangka Pelan Tindakan Banteng Borneo 2019-2028.

Kongsi WWF Malaysia, pelan tindakan itu memberikan hala tuju dan panduan mengenai strategi, keutamaan dan tindakan untuk pemuliharaan banteng bagi tempoh antara 2019 hingga 2028.

“Selaras dengan Pelan Tindakan Banteng Borneo dan disokong oleh JHLS serta Jabatan Perhutanan Sabah, WWF-Malaysia bersama Borneo Rhino Alliance (BORA) telah memikul tugas membangunkan dan menyelenggara padang rumput secara aktif di dalam Rizab Hidupan Liar Tabin, Sabah.

“Kawasan ini menempatkan populasi banteng Borneo terbesar di Sabah.

“Sebagai permulaan, populasi banteng Borneo yang diketahui tidak mempunyai angka mengagumkan iaitu kira-kira 52 ekor sahaja,” ujarnya.

Hurainya lagi, melalui kerjasama sejak dua tahun lalu itu, pasukan di lapangan akan menyuburkan padang rumput untuk dijadikan makanan oleh banteng Borneo.

“Dengan membangunkan padang rumput di habitat banteng Borneo, kami harap dapat menyediakan makanan berkualiti yang mencukupi bagi membantu meningkatkan produktiviti spesies berkenaan.

“Kerja-kerja masih diteruskan dan diharapkan populasi banteng Borneo di Tabin akan berkembang maju serta hasil kerja di sana boleh diaplikasi di habitat lain pula,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI