fbpx

Tom, Fuad Rahman nikah hari ini di Batam, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JODOH Tom dan Fuad kembali bertaut selepas bertemu kembali pada program GV9 tahun lalu.

PETALING JAYA – Pasangan penyanyi Tom dan Fuad Rahman diketahui akan mendirikan rumah tangga apabila bakal bernikah dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup hari ini di Batam, Indonesia.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik Tom atau nama lengkapnya Raja Farah Afzal Raja Ikram dalam InstaStory miliknya sekitar sejam lalu, penyanyi itu berkongsi gambar jarinya yang dihiasi inai serta menyarung sebentuk cincin.

“Semoga urusan kami dipermudahkan hari ini,” tulis Tom ringkas.

Menerusi hantaran berbeza, penyanyi berusia 37 tahun itu turut berkongsi video pendek menunjukkan Fuad sedang bergurau senda dengan ibunya di dalam bilik dipercayai di hotel.

“Sempat manja-manja dengan mama dia dulu sebelum masing-masing nak bersiap untuk nikah sekejap lagi,” tulis Tom.

Sementara itu, pengurusnya, Aalan ketika dihubungi Kosmo! Online untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai majlis pernikahan tersebut bagaimanapun enggan untuk mendedahkan sebarang maklumat atas alasan berpegang pada janji.

“Betul mereka nikah hari ini. Tapi lokasinya bukan di sekitar sini (ibu kota). Susah saya nak cakap sebab saya pegang amanah orang,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan yang dikongsikan bekas peserta Gegar Vaganza musim kesembilan itu (GV9), Tom memaklumkan majlis persandingan akan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti dan mereka merancangan menjemput ramai kenalan.

“Nikah (hanya dihadiri) keluarga dahulu, lepas raya kita bersanding, ajak semua okey,” katanya.

Terdahulu, Tom dan Fuad tidak menyembunyikan hubungan mereka apabila secara terbuka memberitahu sedang menjalinkan hubungan cinta pada Disember tahun lalu selepas bertemu dalam program GV9.

Pasangan itu sebelum ini pernah menjadi kekasih selama beberapa tahun sejak 2005 sebelum berpisah kerana Fuad berdepan hukuman penjara.

Untuk rekod, Fuad pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali, manakala Tom pula pernah berkahwin sebanyak tiga kali, namun semuanya berakhir dengan perpisahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI