fbpx

Berlakon hebat, Nadiya Nisaa masih berguru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIYA NISAA

NAMA Nadiya Nisaa selayaknya terkalung dalam jambangan ‘permata’ berharga dalam industri sinema tanah air.

Berikanlah apa sahaja watak dan emosi berbeza kepadanya, marah, sedih atau lucu, semuanya mudah sahaja ditelan. Dia pantas ‘kerasukan’ menjayakan segala karakter secukup rasa.

Selepas tampil dengan lebih 20 buah filem, Nadiya cukup sinonim dengan naskhah berat yang adakalanya memberatkan emosi penonton.

Karya-karya seperti Terbaik Dari Langit, Love Supermoon, Interchange, terbaharu Harum Malam serta Imaginur merupakan antara naskhah yang boleh dianggap seperti ‘makanan’ buat Nadiya.

Digelar sebagai pelakon ‘method’ dek naskhah berat yang sering dijayakan, anak kelahiran Gombak, Selangor itu bersyukur apabila terdapat penonton meletakkan kerjanya pada satu tahap.

“Alhamdulillah kalau orang letakkan kerjaya saya pada satu tahap tertentu yang diharapkan berkualiti. Kalau berkualiti, orang akan berpuas hati dengan setiap usaha yang kita buat,” ujarnya kepada Pose.

Ujar Nadiya atau nama lengkapnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, dia hanya menjalankan amanah diberikan sutradara disertakan dengan usaha.

Biarpun adakalanya berdepan kekangan masa untuk mempersiapkan diri, Nadiya sedaya upaya mencuri waktu membaca skrip yang diberikan selain duduk berbincang bersama pengarah.

“Tidak kisahlah sama ada watak saya kecil atau besar, saya akan ambil masa sendiri untuk mendalami watak yang diberikan,” jelasnya.

MENJADI antara pelakon terbaik dan pemenang anugerah, Nadiya Nisaa masih berguru dan kini menjadikan Farah Ahmad sebagai guru lakonannya.

Tambah pelakon berusia 37 tahun itu, apabila penonton menganggap karya lakonkannya sebagai berkualiti, dia puas kerana dapat melakukan yang terbaik.

Pernah menggenggam trofi terbaik menerusi kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM27, Nadiya tidak terus mendongak ke langit berasa hebat.

Sehingga kini Nadiya masih menagih ilmu daripada golongan yang lebih berpengalaman untuk memperbaiki mutu lakonannya.

“Saya masih lagi berguru dan menjadikan pelakon Farah Ahmad sebagai guru lakonan saya. Saya masih berguru kerana mahukan pandangan yang berbeza.

“Cara orang (guru) mungkin tidak sama dengan cara saya. Belum ditambah lagi dengan pandangan oleh pengarah ketika di set penggambaran. Di situ saya akan kumpulkan semua ilmu untuk dipraktikkan dalam lakonan,” jelasnya.

Menyentuh sedikit tentang filem terbaharunya berjudul Imaginur arahan pengarah hebat, Nik Amir Mustapha, Nadiya mengakui karya yang dibintangi Beto Kusyairy dan Diana Danielle tersebut ‘berat’ untuk difahami sesetengah penonton.

Imaginur bagaimanapun tetap mempunyai elemen ‘popcorn movie’ yang mengetengahkan kisah percintaan dan kekeluargaan.

“Berat juga sebenarnya. Tapi tetap ada elemen seperti kisah cinta dan keluarga. Penonton sebenarnya kena faham signatur Nik Amir memang begitu. Apa yang penting dia tidak akan tinggalkan penonton keseorangan.

“Sama seperti karyanya sebelum ini antaranya Terbaik Dari Langit dan Kil, dia akan membawa kita berfikir tentang kehidupan,” kata Nadiya.

Meskipun dianggap sebagai naskhah berat, Nadiya percaya Imaginur tetap relevan dan mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI