KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu hari ini membuat laporan polis berhubung perarakan Pemuda Pas Terengganu membawa replika senjata pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu di Setiu pada Jumaat lalu.
Pengerusi PH Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, polis perlu bertegas dan melakukan siasatan terperinci berhubung perbuatan tersebut.
“Perarakan itu memberi persepsi tidak baik terhadap mesej kedamaian yang dibawa Islam. Apakah niat mereka (Pas). Bukankah Majlis Raja-Raja Melayu baru-baru ini telah bertitah meminta keharmonian dan kestabilan negara dipelihara?,” dakwanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu, gambar perarakan tersebut tular di media sosial sehinggu mencetuskan kebimbangan dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana memiliki dan membawa senjata tajam walaupun palsu merupakan kesalahan jenayah.
Raja Kamarul Bahrin berkata, tambah mengecewakan acara perarakan itu turut disaksikan kepimpinan Pas seolah-olah merestui perbuatan tersebut.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu, Hanafiah Mat meminta semua pihak berhenti menjadikan perarakan tersebut sebagai polemik politik.
“Perarakan berkenaan cumalah pertandingan bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam. Peserta cuma membawa replika bukannya senjata tajam sebenar,” katanya. – KOSMO! ONLINE