fbpx

Kristal profesional, tak campur hal peribadi – Ewal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EWAL tidak berasa kekok bekerja dalam satu kumpulan dengan abang dan adik bekas tunangnya.

PETALING JAYA – Ikatan yang putus di tengah jalan tidak menggugat persahabatan vokalis Kristal, Ewal Ismail dengan adik-beradik bekas tunangnya iaitu Rody dan Acap yang juga anggota kumpulan itu.

Katanya, mereka bekerja secara profesional tanpa meletakkan hal peribadi membabitkan hubungan antaranya dengan saudara kandung mereka, Adda sebagai penghalang apatah lagi wanita itu sudah pun berkahwin.

“Saya tak rasa kekok bersatu dalam sebuah band dengan abang dan adik kepada bekas tunang saya kerana kami profesional.

“Lagipun kami sudah berkawan lama sejak awal belasan tahun jadi apabila tiada jodoh saya dengan Adda, itu bukan satu isu yang boleh pecah belahkan Kristal.

“Sebenarnya Rody dengan Acap terkejut masa kami kata nak bertunang, berbanding ketika pertunangan itu berakhir.

“Kalau tiada jodoh kita pun tak boleh buat apa-apa. Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Adda pun dah jadi isteri orang,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pertunangan Ewal dengan Adda atau Nur Syuhada Baharuddin, 33, pada September 2021 hanya mampu bertahan sebulan lebih, bagaimanapun mereka tidak menguar-uarkan bila ikatan itu berakhir.

Sekitar Disember lalu, Adda yang pernah menganggotai kumpulan Butterfly memuat naik video mengenai jodohnya yang dengan orang lain hingga membuatkan peminat tertanya-tanya statusnya.

Enggan melihat masa lampau, pemilik nama lengkap Ikhwal Hafiz Ismail itu kini mahu fokus mengumpul wang serta terus beri komitmen terhadap kerjaya seni.

“Pada usia 30 ini banyak perkara perlu saya bagi tumpuan penuh kerana selain bersama Kristal saya turut aktif menerbitkan lagu penyanyi lain.

“Soal hati tak perlu terkejar-kejar, jika ada, ada lah tetapi dalam soal kerja saya memang serius. Kena juga kumpul duit, beli aset seperti rumah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Fiesto Fest @Penang 2.0.

Akui anak kepada bekas vokalis Wings Mel itu, peluang menyertai persembahan mega bersama ramai rakan seperjuangan lain dianggap Kristal sebagai ruang mendekati peminat.

Acara yang berlangsung di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Mac depan itu menyaksikan persembahan daripada ramai penyanyi termasuk Azlan Typewriter, Ronnie Hussein, Baby Shima, Dinamik, Klangit, Asheed Def Gab C, Akar Band, Saja, Leyca dan D_va.

Terdahulu, selepas Terpisah terbitan 2021, band yang turut ditunjangi Kechiq selaku pemain bes tampil bersama single Cukup Aku Saja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI