fbpx

Perkampungan PATI diserbu, 56 warga Indonesia ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee bertanyakan sesuatu kepada PATI ditahan ketika serbuan di sebuah penempatan haram di Cyberjaya awal pagi tadi. Foto oleh KAMARIAH KHALIDI / KOSMO!

CYBERJAYA – Selepas di Nilai, Negeri Sembilan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur pula sebuah lagi perkampungan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibina secara haram di Cyberjaya awal pagi tadi terdiri daripada empat perkampungan kecil membabitkan kira-kira 100 buah rumah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penempatan haram itu berjaya dikesan hasil aduan awam diterima selain risikan dilakukan anggota selama tiga minggu.

Menurutnya, penempatan dibina di dalam hutan dan terletak antara tiga hingga empat kilometer dari jalan utama itu turut mempunyai kemudahan asas selain kesemua rumah di perkampungan berkenaan diperbuat daripada bahan binaan seperti simen, kayu dan papan lapis serta dilengkapi bekalan elektrik dan air.

“Dalam serbuan dijalankan, seramai 56 warganegara Indonesia berjaya ditahan terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun, manakala dianggarkan  30 hingga 40 warga asing meloloskan diri ke dalam hutan ketika serbuan dijalankan, namun tidak dikejar pasukan operasi kerana keadaan gelap selain terdapat kayu serta kaca di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan bersepadu di sini awal pagi tadi.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati, warga asing yang ditahan itu telah masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sejak tahun 2016 dan tidak pernah kembali ke negara asal.

“Lebih mengejutkan, wanita warga asing yang ditahan didapati menjalankan perniagaan kecil-kecilan iaitu menjual kuih-muih, nasi lemak dan pisang goreng di kawasan sekitar Putrajaya dan Cyberjaya,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JIM akan mengenal pasti pemilik tanah berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Imigresen jika didapati melakukan kesalahan melindungi PATI.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita dapati penduduk di sini membayar wang sewa rumah sekitar RM500 sebulan dan wang yang dikutip itu akan diberi kepada pihak-pihak tertentu.

“JIM juga akan laporkan segera kepada Majlis Perbandaran Sepang untuk tindakan memusnahkan rumah didirikan di dalam hutan itu bagi memastikan ia tidak lagi didiami oleh warganegara lain selepas penghuni yang ada itu ditahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI