fbpx

Hendak Menu Rahmah tetapi harga barang tak turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai dan para peniaga mengharapkan harga bahan mentah termasuk ayam dapat diturunkan. - GAMBAR HIASAN

 

NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

MENU Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi.

Inisiatif tersebut membolehkan rakyat terutama di kawasan bandar menikmati hidangan pada harga murah di bawah RM5, sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan harian.

Pujian patut diberikan kepada peniaga kedai makan yang me­nyahut saranan kerajaan dengan terlibat dalam inisiatif tersebut meskipun turut sama menanggung kos tambahan akibat kenaikan harga barang mentah.

Ia dianggap sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada pelanggan.

Namun begitu, rata-rata peniaga mahu kerajaan lebih serius dalam menangani isu kenaikan harga barang mentah bagi memastikan mereka dapat terus menawarkan Menu Rahmah kepada orang ramai.

Peniaga sebuah restoran di Alor Setar, Hashim Abdullah, 55, berkata, kerajaan perlu memastikan bekalan dan harga barangan di pasaran terkawal bagi membolehkan Menu Rahmah dapat diteruskan.

“Kita tidak tahu sampai bila boleh tawarkan menu ini dan jika harga barang mentah naik dan gagal dikawal dengan baik, mungkin ia hanya akan tinggal nama,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahudin Ayub dilaporkan berkata, pihaknya tidak meletakkan tempoh khusus berhubung pelaksanaan inisiatif itu dan ia terpulang kepada pemain industri.

“Ia bergantung kepada pemain industri, kalau mereka menganggap ini sebagai perkara yang bukan memberi keuntungan besar. Namun lebih kepada untuk memberikan makanan kepada mereka yang memerlukan,” katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pelaksanaan menu bajet itu perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan inisiatif tersebut berjaya memberi sentuhan kepada setiap pengguna.

“Hasil tinjauan saya di sebuah pasar raya di Alor Setar, hida­ngan Menu Rahmah ini diletakkan di kaunter di hujung atau bahagian belakang premis.

“Tidak ramai pun yang masuk ke pasar raya itu untuk beli hidangan menu tersebut kerana orang ramai mungkin lebih memilih membelinya di kedai-kedai makan di tepi jalan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menafikan ia adalah satu inisiatif yang baik, namun Cake akan terus memperjuangkan isu berkaitan kenaikan harga barangan.

“Harga barang masih tidak stabil, ia sangat menekan rakyat ketika ini termasuk peniaga. Bagi saya ia lebih penting.

“Jadi, kerajaan diharapkan tidak membiarkan isu kenaikan harga barang ini terus berlarutan. Jika harga barang terus naik, mungkin Menu Rahmah ini pun tidak dapat bertahan lama,” ujarnya.

Tambahnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga perlu lebih proaktif dalam melaksanakan program berkaitan keselamatan makanan.

“Kita lihat belum ada pelaksanaan program berkaitan sekuriti makanan ini dibuat secara besar-besaran dan memberi impak besar kepada bekalan makanan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI