fbpx

Hampir 100 suspek kes rompak, tipu mangsa gempa di Turkiye diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk berjalan di tengah-tengah sisa runtuhan bangunan di Antakiya, wilayah Hatay, 10 Februari lalu. – AFP

ANKARA – Sehingga 98 suspek diberkas di Turkiye kelmarin kerana didakwa merompak banguan-bangunan yang rosak serta menipu sebilangan mangsa gempa bumi dengan membuat panggilan palsu, lapor agensi berita tempatan, Anadolu Agency.

Menurut sumber polis yang enggan dikenali, kesemua suspek ditahan  selepas siasatan dilakukan di lapan wilayah dengan sekurang-kurangnya 42 orang diberkas di wilayah Hatay sahaja.

Hasil siasatan menyaksikan polis merampas wang tunai dalam mata wang dolar Amerika berjumlah AS$11,000 (RM47,643), 70,000 lira Turkiye (RM16,099), 20 telefon bimbit, lapan komputer riba, lima perkakasan, enam pucuk pistol dan tiga raifal selain barangan kemas dan kad bank milik beberapa individu, kata sumber berkenaan.

Dua suspek yang menyamar sebagai pekerja bantuan kemanusiaan turut ditahan selepas cuba merompak dua buah lori yang dipenuhi dengan bekalan makanan untuk mangsa gempa di wilayah Hatay.

Sementara itu, di daerah Beykoz di Istanbul, polis memberkas enam suspek kerana menipu sebilangan mangsa gempa bumi di bandar Gaziantep menerusi panggilan telefon.

Menurut seorang mangsa, Nedim Akarsu, dia dihubungi oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai pekerja telekomunikasi. Menurus suspek, mereka boleh membantu mangsa selepas  memberikan maklumat peribadi perbankan.

Akarsu kemudian melaporkan perkara itu kepada polis selepas menyedari duit dalam akaun bank miliknya telah dipindah ke akaun lain.

Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika melawat salah satu wilayah yang terjejas, Diyarbakir, kelmarin, berjanji akan membanteras kumpulan perompak yang mengambil kesempatan daripada kesengsaraan orang lain.

“Kerajaan telah mengumumkan perintah darurat. Ini bermaksud bermula sekarang, sesiapa yang terlibat dalam kegiatan merompak atau menculik perlu tahu bahawa tindakan tegas kerajaan menanti mereka,” ujar beliau. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI