fbpx

Beza hanya dua markah – ketua juri AJL37

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JELAS Mokhzani, lagu Terus Hidup mempunyai melodi, sementara Satu Malam Di Temasek pula ada kreativiti yang menjadikan kedua-dua karya tersebut layak diangkat sebagai juara dan naib juara AJL37.

KUALA LUMPUR – “Juara dan naib juara AJL37 hanya berbeza dan dipisahkan dua markah.”

Demikian kata ketua juri Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), Datuk Mokhzani Ismail berhubung perbezaan markah antara lagu Terus Hidup ciptaan sepenuhnya Aina Abdul dan Satu Malam Di Temasek (Joe Flizzow).

Menurut Mokhzani, kedua-dua lagu tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri namun rezeki memihak kepada Aina Abdul.

Pada masa sama, beliau tidak menidakkan kehebatan lagu hip-hop nyanyian Joe bersama SonaOne.

“Dua buah lagu amat berdekatan dari segi markah. Sangat dekat jurang markahnya iaitu lagu Terus Hidup dan Satu Malam Di Temasek.

“Apabila pemarkahan dibuat, dari sudut melodi lagu dan kreativiti. Kami dapati, melodi ada pada lagu Terus Hidup. Kreativiti pula ada pada Satu Malam Di Temasek.

“Lirik kedua-dua lagu sangat kuat. Lagu Joe tentang kehidupan dan kematian. Kemudian dari segi vokal, kami adili dari segi rakaman dan persembahan pentas malam tadi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Dedah Mokhzani lagi, Aina yang dinobatkan sebagai Vokal Terbaik juga menjadi faktor mengapa lagunya diangkat sebagai juara keseluruhan.

“Aina dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, itu antara faktor yang mengangkat markahnya menjadi sedikit lebih.

“Jurang kalau boleh saya umumkan lebih kurang dua markah sahaja (antara dua lagu tersebut).

“Ada tujuh lagu pop balada, kami (juri) cuba mencari kelainan yang boleh diangkat dan karya dibawa oleh Alif Satar & The Locos (Anugerah Terindah) menjadi pilihan untuk dinamakan sebagai pemenang tempat ketiga,” katanya lagi.

Barisan juri AJL37 diketuai Mokhzani dengan bantuan juri lain termasuklah Acis, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman, LY dan Damian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI