fbpx

Badan Pemikir Pendidikan Negara bantu tangani isu pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Amin bersama warga UPSI yang hadir mendengar ucapannya di Dewan Tuanku Canselor, UPSI di Tanjung Malim baru-baru ini.

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menubuhkan Badan Pemikir Pendidikan Negara bagi membantu negara menangani isu-isu berkaitan bidang berkenaan.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, cadangan penubuhan badan berkenaan tercapai menerusi pertemuan pihak universiti dengan Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini.

“Profesor-profesor bersama Majlis Dekan UPSI akan memikirkan bagaimana pihak universiti dapat membantu dan memastikan pendidikan negara terus cemerlang.

“Pemikir UPSI juga akan memastikan bahawa profesion pendidikan bukan pilihan terakhir pelajar malah calon mahasiswa universiti ini pula terdiri daripada mereka yang benar-benar ingin menjadi guru, bukan hanya untuk mendapat pekerjaan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis Aspirasi Naib Canselor 2023 bertemakan Pemacu Keunggulan Pendidikan di Dewan Tuanku Canselor, UPSI di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Md. Amin berkata, UPSI memberi penekanan terhadap amalan 5K iaitu Kekeluargaan, Kasih Sayang, Keseronokan, Kreativiti, dan Kesegeraan demi melonjakkan kecemerlangan pada masa hadapan.

Beliau juga berkata, pihak universiti turut memberi penekanan terhadap amalan 3A iaitu Akademik, Adab dan Akhlak dalam melahirkan graduan yang holistik dan hebat.

“Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) digerakkan untuk menganjur Program Bina Insan Bitara bagi membentuk ciri-ciri mahasiswa yang holistik.

“Antara program yang telah dirancang bagi tujuan itu termasuklah Malaysia Juara, penubuhan Pusat Pendidikan Teknologi Hijau di Kolej Zaaba, Bas Pendidikan untuk menjayakan aktiviti bersama masyarakat, malah UPSI ResQ Team akan membawa pakar-pakar UPSI untuk menjalankan kajian di kawasan banjir,” katanya.

Tambahnya, UPSI juga akan terus berusaha melakar kecemerlangan pendidikan dengan melaksanakan Pelan Pendigitalan Pendidikan yang digerakkan oleh fakulti baharu ditubuhkan iaitu Fakulti Komputeran Dan Meta Teknologi (FKMT) diterajui dekannya, Prof. Madya Dr. Maizatul Hayati Mohd. Yatim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI