fbpx

Stesen Titiwangsa sebagai hab utama pengangkutan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke (tiga kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim (dua kiri) melihat stesen Titiwangsa ketika mengadakan lawatan kerja di Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya hari ini. -Foto FARIZ RUSADIO

SUNGAI BULOH – Stesen Titiwangsa akan dijadikan sebagai hab utama pengangkutan awam di Lembah Klang sempena pengoperasian Transit Aliran Massa (MRT) 2 yang dijangka bermula pada pertengahan Mac depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara tersebut merupakan perancangan Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama-sama pihak MRT Corp. yang akan menawarkan tiga mod pengangkutan awam termasuk perkhidmatan bas di stesen terbabit.

“Hari ini, kita mengadakan lawatan terhadap perkhidmatan MRT 2 dari Putrajaya Sentral hingga ke Kwasa Damansara yang mempunyai 10 stesen pertukaran.

“Namun, antara stesen pertukaran utama adalah Titiwangsa yang menawarkan dua mod pengangkutan awam iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorail termasuk bas. Dengan pembukaan MRT 2 ini, maka ada tiga mod pengangkutan di sana.

“Untuk masa hadapan, stesen MRT 3 juga akan dibina di Titiwangsa sekali gus menjadikannya sebagai hab utama pengangkutan awam,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja ke MRT 2 laluan Putrajaya di Depoh MRT Sungai Buloh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebuah pusat Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) juga akan dibangunkan berhampiran stesen terbabit.

Dalam pada itu, katanya, antara stesen yang turut diberikan perhatian sepanjang laluan MRT 2 adalah stesen Hospital Kuala Lumpur (HKL) ekoran kawasan itu sentiasa sesak dari segi parkir dan lalu lintas.

“Kita harap pembukaan MRT 2 dapat memudahkan para pesakit atau pelawat yang ingin pergi ke HKL. Selain itu, terdapat keistimewaan di sini iaitu kemudahan ‘walkalator’ sepanjang 400 meter,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, status MRT 2 adalah 99.9 peratus siap dan dijangka lengkap sepenuhnya pada Mac depan dengan kos pembinaan sebanyak 30.53 bilion.

“Untuk langkah akhir, pihak kontraktor sedang menjalankan sesi ujian kepada sistem pemantauan bagi memastikan kestabilan apabila operasi penuh bermula. Tarikh pembukaan akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Tambahnya, pihak MOT mensasarkan sebanyak 200,000 penumpang sehari yang akan menggunakan perkhidmatan MRT 2 dalam masa dua tahun.

Difahamkan, jajaran fasa satu MRT 2 laluan Putrajaya yang menampilkan 11 stesen dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah mula berkhidmat pada 16 jun tahun lalu.

Jajaran penuh MRT 2 pula menghubungkan sebanyak 36 stesen dari Putrajaya Sentral hingga ke Kwasa Damansara sepanjang 57.7 kilometer dengan 10 stesen pertukaran sepanjang laluan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN