fbpx

Di sebalik gempita konsert A.R Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AR RAHMAN

KONSERT berdurasi sekitar tiga jam, A.R Rahman – Secret of Success – Live in Malaysia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Januari lalu benar-benar mencetuskan fenomena tersendiri.

Lebih 70,000 lautan manusia membanjiri mercu tanda ikonik negara tersebut sekali gus membuktikan bahawa legenda muzik India itu memang memiliki pengaruh yang kuat di seluruh dunia.

Menyanyikan sebanyak 22 buah lagu, Rahman atau nama sebenarnya, A. S. Dileep Kumar bukan hanya melunaskan sebuah persembahan berskala mega, dia juga dari satu sudut lain berjaya menyatukan rakyat Malaysia yang sanggup melompongkan jadual masing-masing bagi menikmati konsertnya.

Buat penulis yang pertama kali menghadirkan diri ke konsert pemuzik yang dua kali menggenggam trofi Academy Awards itu, pengalaman ke sana merupakan antara yang terbaik pernah dinikmati.

Siti Nurhaliza berkata, antara impian terbesarnya sepanjang bergelar anak seni kini tercapai apabila dapat berkongsi pentas dengan A.R Rahman.

Sempurna segala segi

Dari segi pencahayaan, ‘teknologi’ pentas, lantunan vokal dan permainan muzik, konsert tersebut sememangnya sempurna serba-serbi. Bayangkan lebih 70,000 manusia hadir ke konsert, menjadikan itu persembahan terbesar pernah dijalankan di Kuala Lumpur pasca pandemik Covid-19.

Memulakan nuansa persembahan menerusi lagu Jai Ho, seisi stadium bergema gegak-gempita dengan sorakan, tepukan serta laungan nama pemuzik paling berjaya India itu. Sangat mengujakan sehingga merasakan A.R Rahman membawa penonton ke satu dimensi lain yang tidak pernah diterokai sebelum ini.

“Malaysia! Terima kasih kerana datang pada malam ini. Saya sangat berbangga dapat membuat persembahan di sini,” ujar Rahman ketika berada di atas pentas.

Lebih 70,000 penonton membanjiri konsert A.R Rahman – Secret of Success – Live in Malaysia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Januari lalu. – AFIQ RAZALI & DMY CREATION

Meremang

Meremang segala bulu roma dan terbit rasa bangga meresap ke jiwa kerana berpeluang merasai sendiri pengalaman berada dalam kelompok penonton yang begitu besar.

Penulis harus mengakui tidak terlalu mengikuti perkembangan karier Rahman kecuali barangkali lagu Jai Ho, namun selepas konsert tamat, mula meminjamkan halwa telinga mengorek diskografi beliau.

Tidak berseorangan, Rahman turut berkongsi pentas dengan nama-nama popular seperti Haricharan, Shweta Mohan dan pemain muzik, Drums Sivamani.
Rahman menyanyikan lagu-lagu hitnya yang lain seperti Param Sundari, Dil Se Re, Chal Chaiya Chaiya sebelum konsert ‘digulung’ dengan lagu berjudul Vanthe Maatharam.

Siti Nurhaliza biduanita negara – PM

Berjaya menghimpunkan puluhan ribu penonton, antara peristiwa terbesar pada malam tersebut adalah kemunculan puspita hati Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan karya klasik India berjudul Munbe Vaa.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin membuatkan rata-rata audiens memberikan tepukan berdiri (standing ovation) usai menyanyikan lagu ciptaan Rahman itu.

Bahkan, nyanyian Siti, 45, mendapat respons penyanyi asal lagu tersebut, Shreya Ghoshal yang mengulang siar video persembahan penghibur ternama itu menerusi Twitter.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir menyaksikan konsert tersebut bersama isteri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan Siti sebagai biduanita negara.

“Bersama Azizah hadir ke konsert penyanyi dan komposer legenda India, A.R Rahman.

“Konsert bertambah meriah dengan peminat dan pengunjung dari pelbagai kaum. Biduanita Siti Nurhaliza turut hadir membuat persembahan,” katanya menerusi satu hantaran status dalam Instagram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI