fbpx

Pengurangan peruntukan bakal jejaskan perkhidmatan Ahli Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander ketika meninjau kejadian tanah runtuh di Kapit.

KUCHING- Pengurangan kadar peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan kerajaan yang dapat disalurkan oleh wakil rakyat.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata atas dasar itu, kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani kekangan berkenaan.

“Meskipun merasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

“Ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan rakyat dapat dibantu dengan sebaiknya selari dengan hasrat Malaysia Madani,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit itu, sebagai Ahli Parlimen dan ahli jemaah menteri Kerajaan Perpaduan, beliau amat memahami dasar tindakan berkenaan yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara.

Bagaimanapun, katanya keputusan itu agak mengejutkan, mengambil kira keperluan penduduk dan kawasan yang pelbagai, terutamanya di kawasan pedalaman.

“Sebagai Ahli Parlimen Kapit, kawasan yang berada jauh di pedalaman dengan cabaran geografi dan luas kawasan menyamai keluasan negeri Pahang di Semenanjung Malaysia, tentulah peruntukan ini tidak mencukupi dan akan memberi cabaran yang lebih besar kepada saya dalam mengurus tadbir kepelbagaian keperluan penduduk dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan yang amat diperlukan oleh rakyat,” katanya.

Menjelas lanjut, Alexander berkata kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Sarawak juga berada jauh di pedalaman tentunya amat bergantung kepada peruntukan berkenaan.

Katanya peruntukan sebelum ini banyak membantu Ahli Parlimen untuk membantu penduduk secara lebih efisien dengan bantuan dapat disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat Pejabat Daerah dan jabatan kerajaan.

Tambahnya peruntukan itu yang disalurkan ke pusat khidmat juga menjadi pusat sehenti bagi disalurkan kepada penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI