fbpx

KPT saran semua IPT terlibat inisiatif Menu Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMED KHALED diberi penerangan mengenai robot 'Inspecto" sambil diperhatikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail (kiri) ketika melawat pameran penyelidikan sempena lawatan rasmi Menteri Pengajian Tinggi ke UTM, Skudai hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyarankan agar semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) turut terlibat sama menjayakan usaha kerajaan dengan memperkenalkan Menu Rahmah di Universiti masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi membantu meringankan beban kumpulan sasar termasuk golongan pelajar yang datangnya daripada keluarga B40.

“Kita berharap perkara yang baik (memperkenalkan Menu Rahmah) dapat dilaksanakan di IPTS.

“Bila program ini (Menu Rahmah) diperkenalkan, kementerian menyambut baik kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperluaskan program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor, Profesor Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Jumaat lalu, Mohammed Khaled dilaporkan berkata, kementerian akan melaksanakan Program Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya sedang bekerjasama dengan KPDN untuk melaksanakan program berkenaan.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, akan melancarkan Menu Rahmah di 20 kafe institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar Lembah Klang selepas Aidilfitri ini.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebagai permulaan sebelum program tersebut diperluas ke IPTA lain di seluruh negara.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan memastikan semua universiti awam melaksanakan program Menu Rahmah itu.

“Setiap universiti awam perlu menyediakan ruang untuk melaksanakan program tersebut yang mendapat kerjasama KPDN ini,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI