fbpx

Universiti UCSI lancar kampus antarabangsa pertama di Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled ketika bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Pra-Pelancaran Kampus Baharu Universiti UCSI Cawangan Bangladesh di Hotel Le Quadri di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI terus komited sebagai platform pendidikan terkemuka apabila melancarkan kampus cawangan antarabangsanya yang pertama di Bangladesh.

Kampus baharu itu yang dikenali sebagai Universiti UCSI Bangladesh akan berpangkalan di ibu kota Dhaka yang mana operasinya bakal bermula Mei tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelancaran kampus itu amat bersesuaian dengan rancangan pengantarabangsaan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Universiti UCSI Cawangan Bangladesh akan mengangkat status Malaysia sebagai hab pendidikan global dan inisiatif pasca pandemik UCSI.

“Selain itu, usaha ini juga boleh dijadikan contoh dan panduan kepada institut swasta yang lain. Jadi, saya galakkan lebih banyak pihak swasta untuk mengikut jejak yang sama.

“Ini kerana, kita sedia maklum bahawa pendidikan tinggi bukan sahaja bermaksud membangunkan masyarakat dalam negara, malah turut melibatkan masyarakat di luar negara” katanya pada Majlis Pra-Pelancaran Kampus Baharu Universiti UCSI Cawangan Bangladesh, di Hotel Le Quadri, di sini hari ini.

Beliau berkata, inisiatif universiti UCSI ini juga membuktikan bahawa jenama pengajian tinggi di Malaysia sinonim dengan kualiti sekali gus memberi impak kepada pasaran antarabangsa.

“Saya juga ingin memberikan penghargaan kepada Insight Institute of Learning sebagai rakan kongsi tempatan UCSI di Bangladesh kerana mengutamakan tawaran pengajian tinggi Malaysia,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti UCSI Siti Hamisah berkata, kampus baharu UCSI itu akan memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran sebelum beralih kepada rantai nilai (value chain).

“Untuk mengoptimumkan kemenjadian graduan dan memperbaiki peluang, kami akan menawarkan program yang mencerminkan keperluan dan trend ekonomi seperti yang digariskan rakan kongsi kami di Bangladesh.

“Bagaimanapun, kami tetap mengutamakan penyelidikan, pendidikan eksekutif dan kerjasama merentas kampus sejajar dengan pertumbuhan organik kampus baharu ini,” katanya.

UCSI Cawangan Bangladesh akan memulakan operasi di kawasan seluas 13,716 meter (m) persegi dengan menawarkan 24 program ijazah dan sarjana dalam bidang perniagaan, sains komputer, kejuruteraan, seni bina, sains sosial dan reka bentuk.

Kampus tersebut dijangka bakal memiliki sekitar 5,000 pelajar dalam tempoh tujuh tahun sebelum berpindah ke tapak seluas tiga ekar bagi menempatkan lebih 60,960m persegi ruang pembelajaran terkini dalam tempoh tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI