fbpx

Mahkamah: Ahmad Zahid gagal mohon pasport secara kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUALA LUMPUR - Ahmad Zahid (baju putih) ketika keluar dari Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, gagal dalam permohonan untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas menolak permohonan Ahmad Zahid, 70, selaku pemohon.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu mendapatkan pasport sementara untuk membuat pasport diplomatik bagi urusan rasmi.

Dalam penghakimannya ketika memutuskan demikian, hakim itu berkata Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang.

Menurut hakim itu, mahkamah tidak memberi kelebihan atau keistimewaan mengikut status golongan tertentu masyarakat sebaliknya meletakkan undang-undang di tahap teratas.

“Mahkamah mengambil maklum bahawa selaku Timbalan Perdana Menteri dan sebagai menteri, tertuduh mempunyai tugas rasmi untuk dilaksanakan. Namun tugas-tugas ini tidak boleh bertindih dengan prosiding yang akan dijalankan di mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa tertuduh berhak mendapatkan pasportnya bagi tujuan diplomatik tetapi ia perlu dikembalikan semula kepada mahkamah.

Dalam prosiding hari ini Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Untuk rekod Ahmad Zahid memfailkan permohonan mendapatkan pasport secara kekal itu di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq pada 20 Januari lalu.

Ahmad Zahid menegaskan pasport antarabangsanya yang kini ditahan Mahkamah Tinggi sebagai syarat jaminan tambahan, menjadi kekangan kepada beliau untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.

Ahmad Zahid berkata, pasport antarabangsa diperlukan bagi membolehkan Jabatan Imigresen memproses permohonan beliau untuk mendapatkan pasport diplomatik bagi memudahkan perjalanan keluar masuk negara.

Ahmad Zahid turut memohon perintah mahkamah agar penyerahan pasport sebagai syarat jaminan tambahan diketepikan manakala jumlah jaminan RM2 juta dikekalkan.

Pasportnya ditahan mahkamah hampir lima tahun lalu berikutan pendakwaan berhubung kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi sejak 2018.

Dalam afidavit yang diikrarkannya bagi menyokong permohonan itu, Ahmad Zahid memaklumkan, beliau tidak mempunyai akses terhadap pasport tersebut sehingga menghalangnya melaksanakan tugas sebagai Menteri Kabinet.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 2 Disember lalu dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid selanjutnya menyatakan, beliau menerima mandat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara.

“Saya tidak berniat melarikan diri atau tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah kerana saya masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik serta ahli keluarga saya kesemuanya berada di sini,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah setiap kali beliau perlu melaksanakan tugas rasmi ke luar negara.

Ahmad Zahid turut mengikrarkan bahawa permohonan itu tidak berniat jahat atau memprejudiskan mana-mana pihak selain memberi akujanji untuk tetap memberikan kerjasama penuh menyelesaikan perbicaraan yang kini di peringkat pembelaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI