fbpx

Rezeki hujan lebat, tangkapan ikan sungai meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Nazree menunjukkan hasil tangkapan ikan liar spesies jelawat, kerai dan lampam di Sungai Tanum, Lipis, hari ini.

LIPIS – Musim tengkujuh yang menyaksikan hujan lebat membawa rezeki kepada nelayan darat apabila mereka kini berjaya mendapat tangkapan ikan sungai yang lebih banyak berbanding sebelum ini.

Seorang nelayan sungai, Ahmad Nazree Shahbudin berkata, 40, berkata, setiap kali hujan lebat di kawasan hulu sungai hasil tangkapan ikan di Sungai Tanum di sini akan meningkat.

Beliau berkata, hari ini sahaja dia memperoleh dua ekor ikan kerai dan ikan jelawat seberat hampir empat kilogram serta 10 ekor ikan lampam seberat 10 kilogram yang tersangkut di jaringnya.

“Saya mula turun ke Sungai Tanum menaiki bot pada pukul 8 pagi hari ini untuk melihat jaring yang dipasang petang semalam.

“Walaupun air sungai naik dan arus sedikit deras selepas hujan lebat di Ulu Jelai malam tadi, tetapi tidaklah mengganggu aktiviti menangkap ikan menggunakan jaring kerana saya memilih lokasi di tepi sungai,”katanya di Kampung Telang dekat sini hari ini.

Menurut Ahmad Nazree, dia menaiki bot dalam keadaan hujan lebat dari jeti sungai kira-kira 10 minit sebelum tiba di lokasi jaring yang dipasang pada petang semalam.

“Dari jauh saya sudah dapat melihat jaring bergerak-gerak dan nampak air berkocak dan dapat mengagak sudah tentu terkena beberapa ekor ikan liar bersaiz besar.

“Saya bersyukur kerana ketika jaring diangkat ada dua ekor ikan jelawat dan juga dua ekor ikan kerai yang masing-masing seberat 1.5 kilogram manakala 10 ekor ikan lampam pelbagai saiz yang kesemuanya berat hampir lima kilogram,” katanya.

Dalam pada itu katanya, dia membawa pulang beberapa ekor ikan lampan ke rumah untuk dimasak asam tempoyak bagi hidangan makan tengah hari keluarganya dan selebihnya dijual.

Katanya, ikan jelawat dan kerai dijual dengan harga RM80 hingga RM100 sekilogram manakala ikan lampam dengan harga RM35 sekilogram.

“Alhamdulillah hasil jualan ikan liar hari ini saya dapat kira-kira RM450 dan akan digunakan untuk membeli peralatan menangkap ikan yang baharu serta belanja keperluan dapur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI