fbpx

Anak Jins, Hang Tuah nafi berdendam dengan Putera Hang Jebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Anak kedua seniman legenda negara, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin, Hang Tuah menafikan tuntutan saman berhubung  pemalsuan dokumen penjualan tanah terhadap adiknya, Putera Hang Jebat tiga tahun lalu bersifat dendam seperti  dakwaan ramai.

Hang Tuah, 49, bagaimanapun menegaskan tindakan undang-undang tersebut diambil demi menuntut keadilan semua pihak dan hak sama rata dalam pembahagian harta pusaka peninggalan bapanya.

“Tiada isu dendam mahupun ingin membolot harta arwah ayah kerana tujuan saman yang saya failkan tiga tahun lalu adalah ingin mengembalikan tanah yang telah dijual kepada estet arwah ayah.

“Kemudian saya juga mahu semua harta milik arwah dibahagikan mengikut hukum faraid,” katanya kepada Kosmo! Online dalam satu sidang akhbar di Bukit Jelutong, hari ini.

Dalam pada itu, usahanya juga bagi memberi keadilan bagi pihak abang sulungnya, Jefri Jins Shamsudin.

“Saya kasihan dengan nasib Jefri kerana tidak mendapat hak yang sepatutnya. Tidak kisah jika saya tak dapat tetapi lebih kepada membela ingin nasib abang.

“Sebenarnya hubungan kami baik sahaja sejak kecil yang memang seperti adik dan abang. Apabila balik kampung, memang kami akan berjumpa dan bagaimana mereka menuduh saya tidak pernah berjumpa arwah?

“Entah mengapa, hubungan semakin keruh dan berubah sejak arwah ayah sakit sekitar tahun 2011,” katanya lagi.

Hang Tuah yang juga seorang juruterbang menjelaskan, sidang akhbar tersebut diadakan bagi membersihkan imejnya yang tercalar selepas tewas dalam kes perbicaraan dakwaan memalsukan dokumen Surat Wakil Kuasa membabitkan sebidang tanah seluas 0.265 hektar di Kampong Pasir, Gombak pada tahun 2015.

Dia juga akan mempertimbangkan untuk memfailkan rayuan mempertikaikan tentang Surat Wakil Kuasa membabitkan sebidang tanah pada tahun 2015 sebagai tidak sah.

“Kami bukan nak mempertikaikan kuasa mahkamah tetapi disebabkan kalah, imej kami pun tercalar.

“Saya bersuara begini pun sebab mereka yang memulakannya dulu apabila mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan situasi sebenar yang melukakan hati banyak pihak termasuk ibu saya, Jamilah Shukor.

“Semangat kami untuk menuntut keadilan tidak tamat walaupun tidak menang kes tersebut. Kami  sedang mempertimbangkan untuk memfailkan rayuan ke muka pengadilan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan bagi pihak kami,” tuturnya.

Terdahulu, pada 6 Januari lalu, Putera Hang Jebat, 36, berjaya mengetepikan dakwaan pemalsuan dokumen Surat Wakil Kuasa membabitkan sebidang tanah seluas 0.265 hektar di Kampong Pasir, Gombak yang dibuat oleh dua abangnya, Jefri dan Hang Tuah, tiga tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan Surat Wakil Kuasa itu sah, seterusnya menolak tuntutan Jefri dan Hang Tuah.

Sekadar info, Jefri merupakan anak sulung hasil perkahwinan arwah dengan bintang legenda, Allahyarham Rahmah Rahmat.

Manakala, Hang Tuah pula anak kedua arwah menerusi perkahwinan dengan Jamilah Shukor pada 1973.

Sementara, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim pula merupakan haail perkahwinan ketiga Jins Shamsudin bersama Puan Sri Halijah Abdullah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI