fbpx

KKM kekal komited tangani permasalahan kusta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha

PUTRAJAYA – Malaysia merekodkan peningkatan kes kusta baharu sebanyak 15.5 peratus atau 164 kes pada tahun 2022, berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 142 kes.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, peningkatan itu adalah hasil daripada pengesanan kes secara aktif di lokaliti endemik yang dilakukan oleh anggota kesihatan di peringkat daerah.

Menurut beliau, di peringkat global, penyakit kusta menunjukkan peningkatan pada tahun 2021 iaitu sebanyak 10.2 peratus atau 140,594 kes baharu berbanding tahun 2020 (128,405 kes baharu).

“Pada 29 Januari 2023, Hari Kusta Sedunia disambut untuk memperingati mereka terkesan akibat penyakit ini dan memberi kesedaran bahawa kusta masih wujud serta masyarakat perlu memainkan peranan di dalam memastikan kesejahteraan kehidupan pesakit diteruskan.

“Penyakit yang sering terpalit dengan stigma dan diskriminasi ini perlu diuar-uarkan agar masyarakat mengetahui bahawa ia adalah sejenis penyakit berjangkit yang tiada kaitan dengan keturunan selain boleh sembuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, sejak empat dekad yang lampau, sebanyak 18 juta pesakit kusta di dunia telah dirawat dengan pemberian rawatan WHO Multidrug Therapy (WHO -MDT) sehingga sembuh dan ini secara langsung telah mengurangkan kadar prevalen kusta di dunia sebanyak 95 peratus.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kekal komited dalam menangani permasalahan kusta dengan melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan yang bersasar kepada golongan berisiko di peringkat lokaliti serta daerah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI