fbpx

Polis Thailand nafi peras ugut aktres Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Charlene An - Trend News

BANGKOK – Pelakon Taiwan, Charlene An berkata bahawa dia dan rakan-rakannya menjadi mangsa peras ugut polis pada awal bulan ini ketika bercuti di Bangkok, lapor portal berita The Nation Thailand hari ini. 

Dalam kejadian itu, aktres berkenaan mendakwa, polis bertindak memberhentikan teksi yang dinaiki mereka di sebuah pusat pemeriksaan berhampiran Kedutaan China di Ratchadaphisek Road pada malam 4 Januari lalu.

Polis kemudian menahan kumpulannya selama dua jam dan akhirnya membebaskan dia dan rakan-rakannya sebagai balasan selepas mereka membayar sebanyak 27,000 baht (RM3,476).

Bagaimanapun, seorang pegawai tinggi Polis Metropolitan, Timbalan Komisioner Samroeng Suanthong berkata, beliau telah berbincang mengenai kejadian itu dengan enam anggota polis terbabit di Balai Polis Huai Khwang.

Katanya, pegawai polis yang terbabit mengaku telah mencabar kumpulan pelakon Taiwan itu berhubung pasport mereka tetapi menegaskan mereka tidak mengambil wang tunai daripada aktres berkenaan dan rakan-rakannya.

Samroeng berkata, enam anggota polis itu mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan pelancong Taiwan itu dan terpaksa menggunakan bahasa Inggeris dan isyarat tangan kerana kumpulan itu hanya bercakap dalam bahasa Mandarin.

“Pelakon itu kelihatan mabuk dan tidak mempunyai pasport,” katanya sambil menambah, polis akhirnya memutuskan untuk melepaskan kumpulan itu kerana mereka tidak dianggap berbahaya.

Samroeng berkata pegawai itu juga memberi amaran kepada pelakon itu bahawa rokok elektronik yang digunakannya adalah dilarang di Thailand tetapi tidak mendendanya.

Beliau berkata, kini sukar untuk memanggil pelakon Taiwan itu untuk memberikan ceritanya tetapi menjelaskan polis masih mencari petunjuk daripada rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV).

Pegawai itu juga mengesahkan bahawa kejadian tersebut telah merosakkan reputasi polis tetapi enggan menyatakan sama ada ia telah menghakis keyakinan terhadap sektor pelancongan Thailand. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI