fbpx

Ahli perniagaan didakwa seleweng RM1.12 juta Penjana Kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya membabit nilai RM1.12 juta.

Tertuduh, Mohd. Eszahar Mansor, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan Perkeso Negeri Melaka dengan mengunci masuk 103 pekerja Syarikat Eszahar Maju Enterprise ke dalam Sistem Penjana Kerjaya 1.0 dan 2.0 yang mana prinsipalnya mempunyai kepentingan.

Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mempunyai matan dokumen palsu iaitu pekerja terbabit bukanlah kakitangan syarikat berkenaan untuk mengelirukan pihak prinsipal.

Perbuatan itu dilakukan di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Melaka dalam daerah Melaka Tengah antara 6 Oktober 2020 hingga 21 April 2021.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2).

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban, Negeri Sembilan pada setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan pendapatannya hanya RM5,000 sebulan dan perlu menanggung ibu bapa, serta isteri yang melanjutkan pengajian dan dua anak masih bersekolah.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dan memerintahkannya melapor diri di Pejabat SPRM Seremban setiap bulan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 10 Februari ini sebagai sebutan semula khas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI