fbpx

Dua laluan utama Jerantut ditutup kepada kenderaan berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LALUAN Benta-Jerantut yang mengalami mendapan dan ditutup kepada kenderaan berat di Jerantut.

JERANTUT – Jalan utama Benta-Jerantut di sini ditutup kepada semua jenis kenderaan berat akibat mengalami mendapan akibat kerosakan pada saluran pembetung.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya Jerantut berkata, laluan berkenaan dijangka ditutup kira-kira empat bulan bagi proses pembaikan dan hanya boleh dilalui kenderaan di bawah satu tan.

“Berikutan kerosakan tersebut, laluan itu ditutup kepada kenderaan berat mulai 24 Januari hingga 23 April ini kerana kerja membaikpulih pembetung dan kerosakan jalan akan dilakukan dalam tempoh tersebut.

“Berikutan penutupan laluan tersebut kenderaan berat boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Sungai Jan, Jerantut-Kuala Lipis dan Jalan Kerambit-Limau Purut-Mela, manakala notis makluman dan pelan laluan alternatif sedang dikemaskini dan akan dihebahkan,”katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, jurucakap JKR Jerantut berkata, Jalan Kota Gelanggi ke Felda Lepar Utara juga ditutup kepada kenderaan berat dengan hanya satu laluan dibuka untuk kenderaan di bawah satu tan ekoran terdapat kerosakan pada pembetung dan struktur jalan.

“Kerosakan jalan ini berlaku berdekatan simpang masuk ke Felda Lepar Utara 9, 11 dan 12 dan ditutup untuk kerja membaikpulih mulai 24 Januari sehingga 5 Februari ini.

“Laluan sementara akan dibuka sebagai alternatif untuk kenderaan di bawah satu tan berulang alik dari tiga buah Felda tersebut dan kawasan berdekatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berharap pengguna jalan raya berhari-hati dan berwaspada khususnya kenderaan ringan di bawah satu tan yang melalui kawasan tersebut.

“Anggota polis juga akan kerap membuat pemantauan di kedua laluan tersebut, manakala pihak berkenaan perlu memasang papan tanda lebih awal di kedua penghujung masuk ke laluan tersebut bagi mengelakkan kenderaan dikhuatiri terbabas ke kawasan hutan dan cerun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI