fbpx

Terbabas motosikal, tangan Noorkhiriah koyak tisu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORKHIRIAH tidak menyalahkan mana-mana pihak selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebaliknya meletakkan kesalahan tersebut atas dirinya sendiri.

PETALING JAYA – Pelakon Noorkhiriah tidak mengalami kecederaan serius sebaliknya hanya koyak tisu pada tangan selepas motosikal yang ditunggang terbabas ketika penggambaran sebuah drama semalam.

“Alhamdulillah saya okey, cuma tangan berbalut dan lebam-lebam manja sahaja. Tidak patah cuma tisu koyak,” tulis Noorkhiriah dalam Instagramnya.

Meskipun mengalami kecederaan ketika penggambaran, Noorkhiriah atau nama sebenarnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 44, tidak menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya meletakkan kesalahan atas dirinya sendiri.

“Apa yang terjadi adalah atas kesalahan saya bukan produksi. Jangan salahkan produksi kerana mereka telah jalankan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Allah dah jentik atas kedegilan saya. Apa pun saya tidak mengeluh sebab masih punya nyawa. Itu paling penting. Sakit sikit-sikit. Alhamdulillah saya terima,” kongsi Noorkhiriah lagi.

Dalam pada itu, mendedahkan dia sememangnya mahir membawa motorsikal, namun hampir pengsan kerana terlalu terkejut dengan kemalangan tersebut.

“Saya nak pengsan sebenarnya sebab terkejut, tidak tahu hendak cakap macam mana. Apa pun terima kasih yang mendoakan. Buat yang tolong gelak dulu baru doakan pun saya okey, sebab kelakar kan.

“Apa yang pasti saya boleh bawa motor, jika tidak percaya tengok drama Bedah Tong Gas. Tetapi apabila Allah berkehendak maka terjadilah. Terima kasih untuk kenangan manis ini,” ujarnya.

Melalui satu video yang dimuat naik dalam akaun Instagram pelakon itu malam tadi, Noorkhiriah dilihat menunggang motosikal jenis Modenas Kriss berwarna hijau ketika penggambaran drama Boss Kid dilakukan di sebuah rumah yang tidak dinyatakan lokasi.

Kemudian motosikal yang dinaikinya terbabas dan seterusnya melanggar sebuah kereta jenis Nissan Almera diparkir di hadapan rumah yang dijadikan lokasi penggambaran itu.

Kemalangan tersebut mengundang kebimbangan bukan sahaja daripada kalangan rakan artis tetapi juga peminatnya yang berharap Noorkhiriah segera diberi kesembuhan. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Noorkhiriah Ahmad Shapie (@khiriah17)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI