fbpx

Kompaun RM27,500 jual barang luput tarikh, salah label

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka ketika sedang melakukan pemeriksaan menerusi Ops Tahun Baru Cina (OPS TBC) 2023.

PETALING JAYA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengeluarkan sembilan kompaun berjumlah RM27,500 ke atas premis-premis jualan di sekitar negeri atas kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sepanjang 8 Januari hingga semalam.

Pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNM menerusi Ops Tahun Baru Cina (OPS TBC) 2023 itu, mengesan pelbagai kesalahan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 termasuk penjualan makanan melepasi tarikh luput.

Pengarah JKNM, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, sebanyak 30 buah premis pasaraya, kedai runcit dan pasar mini telah diperiksa bermula 8 hingga 19 Januari 2023 sepanjang operasi.

“450 makanan bernilai RM2,381 dirampas atas pelbagai kesalahan, termasuk keadaan bungkusan, pelabelan serta barangan melepasi tarikh luput dan sembilan kompaun bernilai RM27,500 telah dikeluarkan.

“Sepanjang tahun 2022, sebanyak 5,057 jenis barangan yang menyalahi Akta Makanan 1983 telah disita bernilai RM157,461 dan sebanyak 53 kompaun telah dikeluarkan bernilai RM157,000,” katanya.

Selain itu menurut beliau, pemeriksaan kebersihan premis makanan turut dilakukan di sekitar negeri itu.

“Sehingga 19 Januari 2023, sebanyak 83 buah premis makanan iaitu restoren, gerai dan kedai makan telah diperiksa manakala 97 kompaun bernilai RM26,650 telah dikeluarkan.

“Ia berdasarkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, antaranya disebabkan makanan ditempatkan atau diletakkan di atas lantai, tidak mempunyai suntikan dan kursus pengendali makanan serta tidak memakai apron,” ujarnya.

Bagi tahun 2022 pula, JKNM telah menjalankan pemeriksaan premis makanan sebanyak 5,081 premis dengan 58 premis makanan diarahkan tutup dibawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Susulan itu, menurut beliau, JKNM telah mengeluarkan sebanyak 1,664 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai kompaun RM211,650.

“JKNM akan tingkatkan pemantauan ke atas semua premis-premis jualan makanan di sekitar negeri.

“Jika pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, hubungi pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat atau membuat aduan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI