fbpx

Jarak 16km tapi ada 30 laluan berlubang, mendap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jalan Gua Musang-Cameron Highlands yang berlubang dan mendap boleh mengundang kemalangan kepada pengguna. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Pengguna Jalan Gua Musang-Cameron Highlands, di sini, berdepan risiko kemalangan setiap kali menggunakan laluan tersebut kerana masalah jalan mendap dan berlubang.

Tinjauan Kosmo! mendapati, hampir 30 kerosakan melibatkan jalan mendap dan berlubang sejauh 16 kilometer dari kawasan lampu isyarat Taman Tropika sehingga ke Kampung Panggong Lalat, di sini.

Jalan itu merupakan laluan utama bagi penduduk dari Gua Musang ke kawasan peranginan Cameron Highlands, Pahang dan Ipoh, Perak.

Selain itu, laluan kecil yang tiada ruang bahu jalan juga dilihat boleh mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya terutamanya ketika berselisih dengan kenderaan berat.

Seorang pengguna jalan raya, Shahuri Ahmad, 49, berkata, dia berharap pihak berwajib dapat melebarkan laluan itu selain me­lakukan penyelenggaraan berkala.

“Ini laluan penting untuk penduduk di Tanah Tinggi Lojing, Rancangan Pengumpulan Semu­la (RPS) Kuala Betis, Kampung Kundur untuk ke Bandar Gua Musang.

“Keadaan laluan sempit dan tiada bahu jalan di sepanjang la­luan itu sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya apabila berselisih dengan lori balak yang turut menggunakan jalan itu,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Mohamed Hassan Ali, 40, juga berharap pihak berwajib dapat mempertimbangkan untuk melebarkan jalan bagi keselesaan pengguna.

Katanya, terdapat banyak kerosakan dan sudah berlaku kejadian jalan mendap di beberapa tempat yang boleh menyebabkan berlaku kemalangan.

“Laluan itu agak sibuk apabila ramai pelancong ke Ca­meron Highlands dan Ipoh pada musim cuti persekolahan atau hari ­minggu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya menerima ba­nyak aduan daripada penduduk dan pengguna jalan ber­kenaan.

Katanya, melalui pemantauan, keadaan jalan terbabit boleh mengancam keselamatan nyawa dan merosakkan kenderaan pengguna jalan.

“Saya mengakui pihak berwajib ada membaiki dan menampal kerosakan jalan berkenaan, namun ia tidak kekal lama apabila laluan itu turut digunakan lori balak.

“Saya harap ada peruntukan khas dari Kementerian Kerja Raya untuk membaiki dan menaik taraf jalan terbabit demi keselesaan pengguna jalan raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI