fbpx

Rombakan kabinet Sabah bertujuan tumpu hala tuju Sabah Maju Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Arifin beramah mesra bersama mahasiswi Sabah pada Program Wam2care bersama 300 Mahasiswa Mahasiswi Sabah di Hotel Goodhope, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang diumumkan Ketua Menteri Sabah bertujuan memberi tumpuan penuh kepada hala tuju Sabah Maju Jaya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, pengumuman yang dibuat Datuk Seri Hajiji Noor melibatkan beberapa portfolio itu bagi memastikan perancangan itu dapat direalisasikan.

Katanya, beliau turut terlibat dalam pertukaran portfolio yang dahulunya memegang jawatan Kementerian Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan Sabah.

“Sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang baharu, saya akan mendapatkan taklimat pada Selasa ini daripada kementerian berkenaan, saya difahamkan kementerian telah menyusun program lima tahun dan pelbagai usaha telah dirancang untuk majukan Sabah.

“Antara projek utama yang akan dilakukan ialah mewujudkan Pusat Sains Negeri Sabah yang mendapat bantuan daripada kerajaan Pusat. InsyaAllah, kita akan memastikan usaha ini menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Wam2care bersama 300 Mahasiswa Mahasiswi Sabah di Hotel Goodhope, di sini hari ini.

Rabu lalu, Hajiji mengumumkan rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah menyaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dilantik Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan negeri.

Kitingan, yang sebelum ini Timbalan Ketua Menteri II, menggantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin manakala Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam sebelum ini Timbalan Ketua Menteri III, dilantik Timbalan Ketua Menteri II.

Joachim juga dilantik Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putatan, Datuk Shahelmy Yahya daripada BN dilantik Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya iaitu portfolio disandang Bung Moktar sebelum ini.

Mohd. Arifin berkata, biarpun sudah bertukar Portfolio, beliau masih diamanahkan untuk menjadi Exco Hal Ehwal Islam dan Pendidikan.

Kata Mohd. Arifin, dalam soal Hal Ehwal Islam, pihaknya bercadang untuk mewujudkan hab halal Sabah dan beberapa keperluan pembangunan ummah termasuk memperkasakan wakaf Sabah.

“Dari sudut pendidikan pula, sebelum ini kita mempunyai 10 inisiatif bantuan yang akan kita tambah lagi antaranya melibatkan bidang sains dan teknologi mengikut peruntukan yang disediakan oleh Ketua Menteri,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI