fbpx

Nahas Litar Dato Sagor: Polis rakam keterangan sembilan saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusri (kiri) bercakap pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

IPOH – Polis telah merakam keterangan sembilan saksi bagi membantu siasatan kes kemalangan mengorbankan seorang penonton di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, individu yang telah dipanggil itu termasuk pihak penganjur, rakan mangsa dan pegawai yang terlibat ketika perlumbaan berlangsung.

Katanya, kertas siasatan kes berkenaan sedang dilengkapkan pegawai penyiasat dan kini berada di peringkat akhir.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan di mana beberapa saksi bebas lain yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku juga akan dipanggil bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, mana-mana penganjur sukan ekstrem dinasihat menjadikan kejadian itu sebagai iktibar dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Penganjur mestilah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.

“Perkara ini ada dalam SOP penganjur dan kita mahu memastikan kejadian seumpama ini tidak akan berulang di masa akan datang,” katanya.

Dalam kejadian pada 31 Disember lalu, mangsa, Muhammad Amir Mohd. Yusoff, 32, maut selepas dirempuh sebuah kereta Proton Satria ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah.

Kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu dipercayai berpunca akibat dua buah kereta hilang kawalan selepas bergesel sesama sendiri sebelum salah sebuah kereta terbabas ke kanan litar lalu memasuki laluan berumput.

Kenderaan yang terbabas itu telah melanggar salah seorang penonton yang berada di atas kawasan berumput dalam jarak sembilan meter dari laluan litar. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI