fbpx

Pindaan Perlembagaan isu kelahiran luar negara dibentang bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin Nasution.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan pindaan Perlembagaan berkaitan isu kewarganegaraan anak wanita Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara kepada Jemaah Menteri, bulan depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, sebuah jawatankuasa di peringkat KDN sudah dibentuk bagi meneliti sebarang pindaaan Perlembagaan berkaitan perkara itu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan jawatankuasa itu sudah melaksanakan beberapa proses termasuk meneliti undang-undang di bawah Perlembagaan, susur galur setiap kes kerakyatan dan pembabitan pemegang taruh.

“KDN mahu setiap kes dikendalikan dengan baik dan akan memastikan tiada satu kes pun tertinggal. Saya menjangkakan Kertas Jemaah Menteri dapat dibentangkan pada Februari ini.

“Namun, jika ia ada kaitan dengan bahagian dan kelulusan undang-undang maka, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said juga akan dilibatkan sama,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, Pindaan pada Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan itu adalah bagi membolehkan kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita warga Malaysia di luar negara mendapat hak kerakyatan negara ini, sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.

Pada 18 Disember lalu, kumpulan hak asasi Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita warga Malaysia memfailkan saman pemula bagi menuntut perisytiharan kerakyatan berkenaan.

Saman pemula itu difailkan bagi menuntut perisytiharan bahawa anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing, layak memperoleh kewarganegaraan secara automatik walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Pada 9 September 2021, mereka berjaya dalam tuntutan itu selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Bagaimanapun, keputusan itu berubah pada 5 Ogos tahun lalu apabila Mahkamah Rayuan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Seterusnya pada 14 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada enam ibu warga Malaysia dan Family Frontiers untuk meneruskan rayuan bagi menuntut hak kerakyatan berkenaan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI