fbpx

Kehebatan luar biasa Pele tinggal kenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELE

DUA tahun lalu, dunia bola sepak dunia bungkam selepas kehilangan Diego Maradona yang meninggal dunia akibat serangan jantung dan pada hujung tahun lalu, para peminat terpaksa melalui satu lagi detik duka menerima berita kematian ‘raja’ bola sepak.

Lebih tepat, 29 Disember tahun lalu, seluruh masyarakat bola sepak menangisi kematian Edson Arantes do Nascimento yang mungkin tidak ramai yang mengenalinya kecuali apabila namanya disebut sebagai Pele akibat kanser kolon.

Realitinya, peminat-peminat bola sepak ketika ini lebih mengenali Maradona berbanding Pele kerana faktor zaman kehebatannya yang sudah lama berlalu.

Namun, individu yang bernama Pele ini sentiasa digambarkan sebagai seorang pemain hebat dan berdasarkan prestasi serta kejayaan yang dikecapi.

Justeru, penulisan kali ini cuba untuk membawa pembaca mengenali beberapa fakta penting legenda yang dilahirkan pada 23 Oktober 1940 di Tres Coracoes, Minas Gerais, Brazil dan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 82 tahun di Hospital Albert Einstein Israelite, Sao Paulo.

Pada pangkal namanya yang menggunakan Edson dikatakan diambil bapanya sempena nama pencipta mentol dari Amerika Syarikat, Thomas Alva Edison kerana ketika dia dilahirkan, sistem elektrik dan penggunaan lampu mula diperkenalkan di tempatnya.

Bagaimanapun, Pele mendapat namanya samarannya itu adalah ketika dia tersilap menyebut nama seorang penjaga gol Brazil, Bile sebagai ‘Pele’ menyebabkan dia diejek oleh rakan-rakannya dan nama tersebut terus melekat dan menjadi tuah paling besar walaupun pada awal tidak disukainya.

Pada usia 15 tahun, Pele menandatangani kontrak profesional pertama dengan kelab Santos dan menerima gaji sebanyak AS$10 (RM44), namun ketika dia berhijrah ke Amerika Syarikat untuk menyertai pasukan New York Cosmos pada 1975, dia menandatangani kontrak tiga tahun bernilai AS$7 juta (RM30.82 juta) menjadikannya atlet acara berpasukan yang menerima pendapatan paling tinggi ketika itu.

Kelincahannya di atas padang tidak perlu lagi dipertikai, Pele dianggap antara penjaring gol paling prolifik dalam sejarah dan sepanjang kariernya, dia berjaya meledak 92 hatrik, 31 kali menjaringkan empat gol, menyumbat lima gol dalam enam perlawanan dan pernah meledak lapan gol dalam satu perlawanan.

Kehebatan Pele membantu Brazil memenangi tiga gelaran Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970 memaksa presiden negara itu, Janio Quadros mengisytiharkannya sebagai aset negara pada 1961 untuk mengelakkan dia ‘dicuri’ pasukan dari Eropah selepas khidmatnya diintai Real Madrid, Juventus, Inter Milan dan Manchester United.

Kehebatan dan bakat luar biasa dimiliki Pele bukan sekadar dinikmati oleh peminat di Brazil sahaja kerana namanya dianggap cukup berpengaruh sehingga berjaya menghentikan perang saudara di Nigeria pada 1967 ketika dia bersama Santos beraksi dalam perlawanan pertunjukkan di Lagos kerana kedua-dua pihak bertelagah mahu menyaksikan kelibatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI