fbpx

Bekas bintang Sri Pahang mantapkan Sang Kenari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HIDALGO (kanan) akan membentuk gandingan mantap dengan pemain import dari Filipina, Manuel Ott pada jentera serangan KDA FC kendalian Nafuzi musim ini.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) mengesahkan kehadiran pemain sayap lincah dari Argentina, Manuel Hidalgo bagi menyarung jersi Sang Kenari musim ini.

Kehadiran pemain bertubuh kecil yang sebelum ini beraksi dengan Sri Pahang FC menarik perhatian ramai ketika dia dilihat bakal membentuk gandingan mantap bersama pemain import dari Filipina, Manuel Ott.

Menerusi pengumuman pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar, skuad Kenari juga memaklumkan kehadiran dua pemain tinggi lampai iaitu Bojan Ciger dari Serbia sebagai benteng pertahanan.

Katanya, seorang lagi ialah Willian Lira Sousa dari Brazil sebagai penggempur serangan.

“Bojan Ciger diyakini memiliki kualiti diperlukan bagi memantapkan barisan pertahanan dan dipantau cukup rapat oleh ketua jurulatih KDA FC, Mohd. Nafuzi Zain. Justeru, kami yakin kemampuan yang ada padanya untuk mengemudi pertahanan.

“Setakat ini kami sudah me­ngumumkan enam pemain import untuk mengisi kuota Liga Super dan Liga Simpanan. Kami masih melakukan pemantauan terhadap tiga pemain dan menimbang keperluan sama ada cuma mengambil dua atau mengikat tiga lagi pemain import,” katanya pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Rasmi dan Pengumuman Pasukan KDA FC 2023 di House Of Sang Kenari di Alor Setar semalam.

Dua lagi pemain import yang diumumkan KDA FC sebelum ini adalah Amirbek Juraboev dari Tajikistan dan Alan Jonathan Robertson dari Afrika Selatan.

Mengulas mengenai pemilihan pemain pasukan itu kali ini yang tampak lebih terperinci berbanding musim lalu, Mohd. Daud berkata, pihaknya memberi lebih fokus kepada aspek kecergasan dan kesihatan para pemain yang mahu ‘diikat’.

“Kami pentingkan kualiti pemain yang baik terutamanya dari aspek pencapaian, rekod lampau, kualiti kesihatan dan kecergasan mereka. Itu yang saya rasakan mungkin kurang menjadi pada musim lepas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI