fbpx

Mahkamah: Tukang masak Bangladesh didakwa bunuh pesakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Abdul Alim (baju lokap) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini.

HULU SELANGOR – Seorang tukang masak lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghuni lelaki di sebuah pusat jagaan sakit mental di Bukit Beruntung di sini Disember lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohammad Abdul Alim, 33, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa telah membunuh Leong Kam Ming, 52, di sebuah pusat jagaan sakit mental, Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung di sini pukul 6 petang pada 24 Disember 2022.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendawa Raya Asmaa’ Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jaminan tidak dibenarkan dan mahkamah kemudian menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di mahkamah sama, Mohammad Abdul Alim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masuk ke negara ini tanpa dokumen sah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai warga negara Bangladesh didapati memasuki dan berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah pukul 2.23 pagi di tempat sama pada 27 Disember 2022.

Justeru bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 6(3) akta sama.

Hukuman seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan akta imigresen tersebut tiada ikat jamin dibenarkan dan mahkamah menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kematian penghuni sebuah pusat jagaan pesakit mental di Bukit Beruntung di sini.

Ketua Polis Hulu Selangor Suffian Abdullah berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pukul 1 pagi.

Menurutnya, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pekerja pusat jagaan berkenaan bahawa seorang lelaki berusia 52 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di biliknya di pusat jagaan itu.

Polis berkata mangsa seorang pesakit mental dan penghuni pusat jagaan itu, diperiksa oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Rasa di sini sebelum disahkan meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan cedera dan lebam pada kaki dan tangan dipercayai akibat objek tumpul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI