MELAWAN arus, idea tidak terjangkau dek akal. Sepertinya itu sudah cukup untuk memberi gambaran menyeluruh mengenai penghasilan sebuah filem berjudul Duan Nago Bogho.
Bukan sekadar pujian kosong, usaha sutradara yang cukup sinonim dengan kisah ‘rakyat’, Sabri Yunus mengangkat kesenian tradisonal iaitu mak yong dalam filem ini melayakkan dirinya meraih pujian.
Dengan sedikit roh gengsterisme ‘Pok Ya Con Codei’ yang bersisa pada watak Duan lakonan Asrul Faizal (Jering dalam Pok Ya Con Codei), Duan Nago Bogho diperhebatkan dengan barisan pelakon yang bukan calang-calang orangnya.
Datuk Rosyam Nor, Sangeeta Krishnasamy dan Jojo Goh antara yang ditolak ke hadapan sebagai bintang membawa subjek agak ‘unik’ itu ke layar.

Sebagai hero yang memegang watak Duan, Asrul secara peribadi meletakkan Duan Nago Bogho sebagai sangat sentimental. Paling utama, naskhah tersebut menyuntik kesenian yang diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (Unesco).
Anak seni yang diperkenalkan menerusi filem Budak Kelantan, mengakui bangga dengan inisiatif dan idea Sabri yang mengangkat elemen budaya dalam filem arahannya.

“Kalau mahu jual filem dari segi aksi, banyak karya lain yang boleh diketengahkan cuma kelebihan filem ini adalah mempunyai banyak elemen budaya seperti tarian mak yong yang kita boleh klasifikasikan sebagai seni yang tidak didendang.
“Nampak seperti filem biasa tetapi realitinya Duan Nago Bogho mengangkat maruah seni tradisional ini. Bukan tarian biasa tetapi mak yong mempunyai nilai sentimental kepada rakyat Kelantan,” tutur aktor juga pegawai kebudayaan Universiti Malaya itu.

Kedengaran klise tetapi penuh harapan, Asrul memohon penggiat seni tanah air khususnya golongan penerbit dan pengarah membuka mata sekali gus mempunyai usaha untuk mengangkat lebih banyak seni tradisional dan budaya tanah air dalam filem mahupun drama.
“Menerusi filem, kita boleh jual nama negara ke persada dunia.
“Nasihat saya, jangan sesekali pandang rendah setiap seni tradisional tidak kiralah tarian atau budaya tanah air.
Berbanggalah dengan semua yang kita miliki dan julanglah sehingga satu dunia mengenalinya,” ujarnya.

Identiti Sabri Yunus
Kagum dengan jalan cerita dan subteks yang diketengahkan, Rosyam memandang Duan Nago Bogho sebagai karya wajib segenap lapisan masyarakat.
“Ketika ditawarkan filem ini, saya memang tak berfikir panjang dan terus setuju untuk turut serta.
“Watak saya tidaklah besar tetapi rasa bangga dalam diri sangat membuak-buak apabila terlibat dalam filem yang membawa seni mak yong ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Faktor lain semestinya aura Sabri Yunus sebagai pengarah.
“Selain jalan cerita, Sabri merupakan asbab saya terima filem ini sebab dia memiliki identiti tersendiri dalam mengolah sesebuah karya.
“Ini bukan filem untuk orang Kelantan walaupun hampir 80 peratus dialog dalam Duan Nago Bogho menggunakan dialek masyarakat sana tetapi sebuah karya yang perlu ditonton satu Malaysia,” katanya lagi.

Jangan dimatikan
Seperti Rosyam, Sangeeta yang membawa watak Salmi juga berbesar hati menjadi sebahagian daripada bintang Sabri Yunus. Watak Salmi yang menuntutnya mahir bermain mak yong sangat luar biasa. Sangeeta barangkali menjadi pelakon berketurunan India pertama menari mak yong dan menuturkan dialek Kelantan.
“Awalnya memang sukar tetapi atas bantuan semua pelakon, guru mak yong dan kru, saya berjaya lunaskan tanggungjawab tersebut,” tutur pelakon berusia 38 tahun itu.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mahu melihat industri perfileman tanah air dibanjiri lebih banyak karya mengangkat seni budaya yang jarang dipaparkan secara komersial.
Baginya, naskhah sebegitu sering dipandang sepi rakyat sendiri sebaliknya dijulang tinggi orang luar.
“Di negara luar, nama Malaysia popular menerusi filem Yasmin Ahmad.
“Legasi filem ‘kisah orang Malaysia’ perlu diteruskan dan jangan dimatikan.
“Ketepikan soal bangsa atau agama, sama-samalah kita martabatkan setiap budaya dalam Malaysia ke mata dunia,” jelasnya panjang lebar.

Nilai sentimental filem Melayu
Tidak hanya wanita India’, naskhah sarat emosi Sabri kali ini diturut mengembalikan Jojo Goh (Lily, heroin 29 Februari) memegang watak bernama Nancy.
Filem Melayu sememangnya cukup sentimental buat Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25.
“Saya tidak berfikir panjang ketika menerima tawaran filem ini sebab jalan cerita dan juga pengarahnya.
“Filem Melayu beri impak besar terhadap perjalanan karier saya. Bukan kerana anugerah semata-mata tetapi nilainya begitu tinggi dan istimewa pada mata saya,” ungkapnya.
Bukan berasal dari Kelantan, Jojo juga memandang tinggi setiap nilai seni dan masyarakat Pantai Timur.
“Kita ada banyak budaya yang masih ‘tersorok’ daripada pengetahuan umum. Jika sebut tentang mak yong, mungkin ramai belum tahu tentang sejarahnya.
“Perkara sebegini yang masih kurang dalam industri perfileman kita. Ketepikan unsur kenegerian, tontonlah sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa besar. Gabungan mak yong dan gangsterisme dalam filem ini sangat menarik,” getusnya.

















