fbpx

Anwar Ibrahim mengadap Sultan Ibrahim, lawatan kerja pertama ke Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar tiba di pekarangan Istana Bukit Serene pada pukul 10.30 pagi bagi mengadap Sultan Ibrahim, hari ini.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasminya mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja pertamanya ke negeri ini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun memulakan lawatan kerjanya dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di sini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyambut ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 9.55 pagi.

Kenderaan jenis Audi berwarna keemasan yang dinaiki beliau kemudian dilihat memasuki pekarangan istana pada pukul 10.30 pagi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim tiba di istana berkenaan pada pukul 9.34 pagi, sebelum Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiba 10 minit kemudian.

Pertemuan antara pemimpin tertinggi negara itu bersama kepimpinan negeri dipercayai bagi membincangkan soal kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara serta kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

Anwar sebelum ini dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membuat perjanjian kerjasama bagi menubuhkan kerajaan persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selepas sesi menghadap itu, Anwar dijadualkan akan menikmati makan tengah hari di restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96, di Kampung Melayu Majidee.

Kemudian, Anwar juga akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee sebelum kembali ke ibu negara. Beliau turut pernah merasmikan pembukaan masjid tersebut pada tahun 1989.

Kali terakhir Pengerusi PH itu turun ke negeri ialah ketika berkempen untuk PRU15, November lalu.

Beliau yang juga merupakan presiden PKR itu juga pernah mengadap Sultan Ibrahim di Kuala Lumpur, tiga hari selepas menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI