fbpx

Lima tahun Daniel Fong tunggu jadi hero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENGAKUI tidak mudah mencuba peluang dalam pasaran Melayu, namun berkat kerja keras dan banyak belajar, Daniel Fong akhirnya diangkat selaku watak utama dalam drama Bintang.

PETALING JAYA – Selepas lima tahun bergelar pelakon, pelakon Daniel Fong teruja apabila buat pertama kalinya ditawarkan watak hero dalam drama bersiri berjudul Bintang.

Menurut Daniel Fong atau nama sebenarnya, Daniel Fong Weng Chuan, 29, tawaran berkenaan membuktikan bakat lakonannya mendapat kepercayaan pihak penerbit serta stesen televisyen.

“Sebelum ini saya pernah membawakan watak utama dalam telefilem Bella Bila Cinta Bersatu dan Mualaf Ekspress, namun untuk drama bersiri, Bintang adalah pengalaman pertama saya.

“Sebab itu, saya begitu teruja kerana akhirnya usaha keras selama lima tahun sebagai pelakon terbayar,” ujar Daniel.

Kata Daniel yang pernah bekerja sebagai ejen insurans, bukan mudah untuknya sampai ke tahap ini.

Berkat usaha tanpa henti dan percaya bahawa rezekinya dalam pasaran Melayu sentiasa terbuka luas, Daniel kini mampu tersenyum bangga dengan pencapaiannya.

“Tidak mudah untuk menjadi pelakon, tambahan saya adalah pelakon berbangsa Cina yang bekerja dalam pasaran Melayu.

“Justeru itu, untuk kekal bersaing saya cuba memperbaiki diri dengan menghadiri kelas lakonan dan sentiasa belajar ketika di set penggambaran daripada rakan pelakon lain.

“Perlahan-lahan daripada watak kecil dan pembantu, kini saya diberi peluang untuk memegang peranan utama dalam drama bersiri di TV3,” luah Daniel.

Pelakon itu yang pernah belajar di Melbourne, Australia selama dua tahun sebelum terjun dalam bidang lakonan berharap drama Bintang akan memberi suntikan baharu dalam karier seninya.

“Bagi meneruskan kelangsungan karier lakonan saya perlu ada naskhah bagus dan Bintang antara karya yang sangat menarik.

“Malah, ini juga kali pertama saya bergandingan dengan pelakon popular Ruhainies. Diharap karya ini akan mendapat sokongan daripada peminat,” kata Daniel.

Drama bersiri Bintang yang bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi merupakan karya terbitan Country & Universal sebanyak 20 episod.

Nakshah yang menggandingkan Daniel dan Ruhainies tersebut akan disiarkan menerusi slot istimewa Ramadan Raya Lestary TV3. – KOSMO ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI